Wednesday, September 17, 2008

16 September 2008


16 september telah berlalu. Seperti yang lain, penulis juga tertunggu dengan berita paling tergempar dalam sejarah Tanah Melayu dan Malaysia iaitu pertukaran kerajaan tanpa pilihanraya. Seingat penulis, cuma 1 kali sahaja di mana kerajaan yang mendapat mandat tidak dapat memerintah iaitu pada tahun 1969. Pada waktu itu, di perintah oleh Majlis Gerakan Negara atau ringkasannya MAGERAN...

Kerajaan mana yang memerintah sekalipun, seharusnya memerintah dengan amanah dan penuh dengan tanggugjawab. Bagi penulis, asalkan negara aman damai, perniagaan dan urusan harian berjalan dengan baik dan tiada hasutan perkauman, penulis boleh hidup. InsyaAllah.

Ramai yang mungkin lupa kerana bukan hari cuti pada setiap 16 September. 16 September merupakan tarikh kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Tanah Melayu dan pembentukan nama baru iaitu Malaysia. Salam Perpaduan buat semua kaum dan bangsa yang ada di bumi bertuah bernama Malaysia. Penulis (berasal dari Semenanjung) telah mengirim pesanan ringkas kepada semua rakan penulis yang berada di Malaysia dengan harapan agar pada masa akan datang terjalin hubungan yang lebih unik antara adik beradik ini, InsyaAllah.

Semoga Malaysia terus aman makmur dan terus maju. Amin.

TERKINI 20 SEPTEMBER 2008

Seharusnya 16 September yang merupakan hari pembentukan Malaysia harus di naikkan kembali semangat pembentukannya dengan pengisian yang lebih bermakna dan lebih menjurus kepada pembentukan Malaysia yang merupakan penyatuan dan pengorbanan orang Sabah dan Sarawak serta rakan dari Semenanjung.

Walaupun ramai yang mencadangkan supaya hari tersebut menjadi hari cuti, penulis lebih suka supaya 16 September tidak menjadi hari cuti. Bukan bermakna penulis tidak bercadang menyambut, tetapi lebih suka seandainya hari tersebut di isi dengan perkara yang lebih bermakna seperti sambutan Hari Guru. Hari Guru tidak pernah dijadikan sebagai hari cuti am, tetapi pada hari tersebut guru dan pelajar tidak mengikuti pengajaran dan pembelajaran seperti biasa. Yang ada hanyalah program yang menguatkan hubungan antara guru dan pelajar.

Bagi penulis, 16 September harus di sambut dengan cara yang sama. Khususnya di sekolah dan institusi pengajian sama ada awam mahupun swasta. Itu adalah lebih baik daripada menjadi hari cuti am di mana entah ke mana rakyat Malaysia pergi tanpa pengisian yang lebih baik. Dengan menjadikan 16 September seperti 16 Mei akan menjadikan pelajar dan juga guru yang akan menjadi pemimpin pelapis pada masa hadapan lebih faham mengenai perkara pengorbanan mereka yang terdahulu dalam pembentukan Malaysia.

Program program ke arah pembentukan perpaduan perlu dan di perkuatkan lagi pada hari tersebut. Cuma sekadar cadangan, para pelajar boleh mempersembahkan pentomin, cerita, bersajak, bersyair walau apa sahaja medium dalam mengisi wadah yang bernama perpaduan dan pengorbanan. Dengan izin Yang Maha Kuasa, dan juga sedikit demi sedikit, para pelajar akan lebih faham dan erat dengan perkara yang membawa kepada pembentukan Malaysia. Masa yang akan menentukan segalanya dan tidak mustahil perkara ini akan berlaku. Seandainya pada peringkat awal pembentukan Malaysia, masih ada syak wasangka sesama penduduk, lama kelamaan, perkara ini semakin di lupakan dan menjadi kebiasaan kepada semua.

No comments: