Friday, April 10, 2009

TONG TIDAK ADA, BUANG SAHAJA MERATA RATA

Pekan Kuala Berang yang terletak 40 kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu merupakan sebuah pekan kecil yang jauh dari pembangunan pesat bandar bandar lain di negeri ini. Sebab musabab, hanya orang Kuala Berang sahaja yang mengetahuinnya. Pekan Kuala Berang mengadakan pasar minggu pada hari Rabu dan Sabtu. Itu tidak termasuk dengan pasar malam yang beroperasi pada hari Selasa dan Jumaat. Kalau waktu dahulu, hari Isnin menjadi pilihan untuk di adakan pasar tani, penulis tidak tahu pada hari apakah pasar tani di adakan sekarang.

Sedikit sebanyak, pasar pasar ini sekurangnya dapat menambah pendapatan penduduk disekitar yang menjual bermacam macam barangan. Kebiasaannya barang yang paling populer didapati di sini ialah barang berasaskan makanan. Sama ada mentah mahupun bermasak. Gerai gerai ini akan dibuka dan orang ramai boleh membeli barang keperluan masing masing. Paling ramai rakyat Ulu Terengganu ialah pada hari giliran sama ada hari Rabu atau pada hari Sabtu. Manusia manusia disekitar Hulu Terengganu akan keluar dari segenap kampung demi menjalankan urus niaga.

Setiap kali disebut pasar, penulis sedih kerana penulis terus dapat membayangkan betapa kotornya sampah sampah dan bertimbunnya sampah yang dibuang oleh pengunjung pasar ini. Benar, ada pihak yang akan membersihkan sampah terbabit, tapi masalahnya sikap pengunjung dan juga pihak berkuasa tempatan yang tidak menyediakan bakul sampah di kawasan pasar ini. Penulis tidak menyalahkan pengunjung semata mata. Kerana pengalaman penulis sendiri yang membawa plastik pembungkus makanan dari hujung ke hujung tapi tidak ada tong sampah yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Mungkin mahal tong sampah ini dan pihak majlis tidak mempunyai peruntukan untuk membeli tong sampah untuk diletakkan di pasar pasar ini. Benar pasar ini tidak kekal, namun berat sangatkah tong sampah yang ada dipasaran. Mungkin penulis terlalu bias, tapi penulis pernah pergi ke pasar atau disebut Tamu di negeri bawah bayu. Di sana, di tengah tengah Tamu, akan ada kelihatan tong sampah kecil disediakan pihak berkuasa tempatan. Benar, masih ada yang membuang sampah merata rata, tapi tidak sebanyak di bandar bawah tasik ini.

Kebersihan adalah tanggungjawab kita bersama. Penulis kadang kadang kasihan dengan mereka yang membersihkan sampah sampah ini, tapi apakan daya penulis. Pihak berkuasa tempatan di Kuala Berang tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk menyediakan tong sampah di pasar pasar ini.

No comments: