Thursday, March 19, 2009

MATRIKS UNTUK PELAJAR PINTAR EKONOMI

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) baru sahaja selesai mengeluarkan dua keputusan peperiksaan besar negara iaitu Sijil Pelajaran Malaysia dan juga Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Tidak lupa juga keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Bermula detik tersebut, semua pelajar bertungkus lumus mencari hala tuju masing masing. Ada yang ingin ke Universiti, Politeknik atau mencari kursus seperti jururawat atau di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan tidak kurang juga yang mencari pekerjaan terus kerana tidak dapat meneruskan pelajaran atau sudah tidak berminat.

Terdapat segelintir pelajar ini akan memasuki matriks. Sama ada selama satu tahun ataupun paling panjang, dua tahun. Penulis sebenarnya menjadi orang betul bendul dan akhirnya tertipu mengenai matriks yang sebenar. Penulis tidak pernah memasuki matriks kerana penulis bukanlah orang yang terpelajar pun. Hanya sekadar menimba ilmu secebis dua sahaja. Syukur untuk semuanya yang pernah dinikmati. Hanya pada tahun 2003, baru penulis mendapat tahu yang matriks sebenarnya tidaklah terikat kepada pelajar aliran sains sahaja. Tetapi juga kepada pelajar yang kukuh matematiknya. Maksudnya mereka yang mengambil ekonomi dan juga Prinsip Akaun semasa SPM, akan berpeluang memasuki matriks selain dari aliran sains seperti yang diketahui umum khususnya di Hulu Terengganu. Sayang seribu sayang...Berapa kerat mereka yang handal matematik diberi peluang untuk mengambil mata pelajaran Prinsip Akaun dan juga Ekonomi semasa di tingkatan empat dan lima?

Mengapa di Hulu Terengganu, tidak pernah penulis mendengar mereka yang memasuki matriks kerana kuat dengan Matematik atau Prinsip Akaun atau Ekonomi. Perkara ini terjadi disebabkan sekolah tidak memberi peluang kepada mereka yang cemerlang matematik tapi tidak berminat dengan sains tulen untuk belajar mata pelajara Matematik, Ekonomi dan Matematik. Ini adalah fakta! Mengapa kita menafikan hak pelajar Hulu untuk berjaya dalam bidang lain khususnya ekonomi semata mata kerana mereka tidak minat mata pelajaran sains tulen seperti Fizik, Kimia dan Biologi.

Pelik Pelik...Kebanyakan sekolah di Hulu Terengganu membuka kelas Prinsip Akaun atau Ekonomi kepada mereka yang gagal dalam Matematik semasa peperiksaan Penilaian Menengah Rendah. Bagaimana mereka yang gagal matematik mahu memahami benda yang semakin kompleks dalam Prinsip Akaun dan Ekonomi. Tidak salah mencuba cuma tidak kena pada tempatnya. Kenapa tidak dibuka kepada mereka yang cemerlang matematik tapi tidak cenderung mengambil Fizik dan Biologi. Mereka masih boleh cuba meneruskan kecemerlangan mereka dalam ilmu kira kira.

Semoga pada masa hadapan, perkara ini dapat diperbetulkan kerana sebenarnya kita sedang menafikan hak anak anak kita untuk mendapat peluang yang terbaik untuk diri mereka demi masa hadapan mereka.

Tuesday, March 17, 2009

PENCARIAN KELANA DAERAH HULU TERENGGANU

Penulis ingin mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya dan tidak berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (SPM)dan tidak lupa kepada mereka yang mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Kepada yang tidak berjaya, bagi penulis itu adalah lumrah hidup. Jangan putus asa. Banyak lagi perkara yang anda boleh lakukan termasuklah membetulkan kesilapan anda yang kecil itu. Dunia belum kiamat.

Penulis adalah seorang yang menjadi ahli tidur Persekutuan Pengakap Malaysia daerah Hulu Terengganu. Menurut seorang senior dalam PPM, penulis dibolehkan bertugas di bawah ibu pejabat PPM daerah Hulu Terengganu. Sebagai ahli tidur yang tegar, penulis mencari seramai mungkin ahli PPM yang berada di daerah ini untuk diteruskan khidmat mereka selepas sekolah menengah untuk direkrut menjadi ahli Kelana. Menurut ahli senior itu lagi, mereka akan berkhidmat dengan Kelana berumur 25 tahun. Selepas SPM dan STPM, ke manakah menghilangnya ahli PPM khususnya di daerah ini? Kerana menurut seorang lagi senior PPM dan orang kuat PPM Hulu Terengganu, apabila kita memasuki PPM, khidmat kita tidak habis di sekolah sahaja tapi sahaja tapi boleh diteruskan sekiranya mahu.

Penulis bingung dengan perkara ini kerana ahli Kelana semakin mengecil. Mungkinkah ahli PPM yang tamat tingkatan lima dan juga enam atas semasa menunggu keputusan semakin hari semakin mengecil bilangannya. Semakin hari semakin jauh mungkin. Ada juga yang tidak menyedari, ahli PPM selepas tamat sekolah menengah, masih boleh berkhidmat dengan daerah sekiranya mahu. Dengan menyertai daerah, khidmat kita akan menjadi lebih luas. Sekiranya dahulu, kita mungkin hanya kenal mereka di sekolah kita sahaja, tapi dengan daerah kita boleh mengenali bukan sahaja ahli biasa PPM tapi juga ahli PPM yang berada ditahap gila Pengakap. Harap pada masa hadapan, akan ada penyelesaian konkrit berhubung perkara ini kerana dengan menyertai PPM, mereka dapat memanfaatkan masa mereka ke arah yang lebih baik dan menghindar dari terjebak gejala negatif.

Salam Pengakap untuk semua ahli Pengakap kerana dalam Pengakap kita adalah bersaudara.

TAKUNG AIR TERBESAR DAN TERPANJANG DITERENGGANU

Terengganu masih dilimpahi dengan rahmatNya walaupun diluar musim kebiasaannya. Normalnya, Terengganu dilimpahi hujan yang lebat ini pada bulan November, Disember dan juga awal Januari. Tapi sekarang ini telah memasuki bulan Mac dan nampaknya hujan telah bersambung. Pelik tapi kena ingat bahawa setiap kejadian itu ada hikmahnya. Mungkin dah lama kita tak menyiram pokok bunga masing dan mungkin juga kita sudah lama tidak menyiram ladang hutan di negeri Terengganu tercinta ini.

Manusia mudah lupa. Tapi Pencipta tidak pernah melupakan hambanya. Hujan tidak pernah melupakan bumi. Dan bumi tidak pernah melupakan orang yang memusnahkannya. Tidak kurang juga mereka yang memeliharanya. Hujan pada luar musim telah membawa satu lagi petunjuk bahawa jalan raya yang baru siap tidaklah sempurnya. Kadang kadang, penulis dapat memerhatikan bahawa jalan yang sedia ada tidaklah bagus tapi lebih baik dari yang siap dibina.

Penulis berbicara mengenai jalan raya yang dinaik taraf dari Simpang Tok Ku di Kuala Terengganu menghala ke Kuala Berang. Pada peringkat awal, hanyalah jalan raya yang mempunyai satu lorong. Tapi dengan berjalannya Lebuh raya Pantai Timur fasa II, jalan ini telah dinaik taraf menjadi dua lorong (walaupun bukanlah sepanjang jalan). Nampak gayanya, Terengganu sekali lagi memahat sejarah apabila mencipta jalan baru yang sering dinaiki air. Bukan kerana jalan ini rendah tapi kerana kita dibawa menaiki kereta kuda atau menunggang kuda semasa melalui jalan tersebut.

Jalan raya ini juga telah menjadi takung air yang besar dan kenderaan akan sentiasa melanggar air sama ada disebelah kanan atau kiri jalan. Air hujan yang mencurah tidak dapat mengalir keluar dan akhirnya jalan ini menjadi satu longkang yang besar. Kereta yang memasuki longkang ini akan sedikit tersasar dan boleh membawa satu bencana sekiranya tersasar ke lorong yang bertentangan. Memang hebat jalan di Terengganu sehingga menjadi dwi fungsi-jalan dan juga bekas takung air. Seperti SMART di Kuala Lumpur. Tapi hebat lagi jalan di Terengganu berbanding SMART kerana dapat dilalui sepanjang masa. SMART ada masa akan ditutup untuk membenarkan air lalu. Tapi tidak di Terengganu. Dipersilakan lalu wahai tuan tuan dan puan puan ke takung air.

Wednesday, March 11, 2009

PENUNGGANG MOTORSIKAL TERENGGANU BERMATA 4 ATAU 6

Fenomena yang semakin banyak menular seperti cendawan tumbuh selepas hujan adalah membawa motor sambil menaip mesej atau pun bercakap semasa memandu. Penulis semakin kagum dengan rakyat Terengganu yang boleh membuat dua perkasa dalam satu satu masa. Penulis tidak dapat berbuat demikian. Terdapat mereka yang boleh mengulangkaji pelajaran dengan mendengar radio, penulis tidak dapat berbuat sedemikian. Banyak orang, banyak ragamnya.

Penulis semasa menghantar sistem pesanan ringkas pun tidak boleh membuat banyak perkara seperti bercakap. Kekadang ada juga tapi tidak dapat membuat perkara tersebut sekaligus. Memang hebat pemandu bertayar dua di Terengganu. Mereka masih boleh mengekalkan konsentrasi mereka dalam pemanduan dan pada masa yang sama, mereka masih boleh berhubung dengan orang yang dihubungi. Jari jari menekan huruf pesanan yang ingin dihantar dan pada masa yang sama, satu lagi tangan di pedal minyak kuda besi masing masing.

Maha Hebat penunggang motorsikal Terengganu. Penunggang kuda besi ini sama ada memiliki mata empat atau enam. Bukan dua seperti manusia normal...

NAPOLEAN KECIL

Selagi tiada perubahan kepada agensi kerajaan, penulis berpendirian segala rekacipta yang canggih dan jarang digunakan oleh rakyat Malaysia -tidak lagi perlu diadakan lagi. Buang semuanya! Membazir ! Jabatan ini telah bertindak seperti Napolean kecil kepada kerajaan. Dengan tindakah yang disifatkan seperti anak anak kecil bermain, ramai pelabur kecewa dengan keadaan yang berlaku sekarang.

Ada pelabur yang dikhabarkan akan menarik pelaburan mereka di negara ini kerana letih dengan kerenah birokrasi yang ada pada jabatan ini. Kelulusan sebuah rekaan anak tempatan tidak dapat dipasarkan di Malaysia. Seorang peniaga memberitahu penulis yang beliau tidak dapat menjual ciptaannya kerana tidak ada undang undang mengenai perkara berkenaan di Malaysia. Sama ada kita ketinggalan atau tidak, penulis tidak tahu. Tapi yang pasti, negara kerugian besar memiliki agensi seperti ini.

Demi memulihkan keyakinan pelabur sedia ada dan juga pelabur yang akan datang, napolean little di semua jabatan harus dibuang dengan seberapa segera. Memotong kerenah birokrasi yang terlalu kompleks dan sesetengah perkara yang masih dianggap tabu perlu dilihat kembali kerana masa telah berubah. Malaysia perlu berubah jika ingin sama berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain.

Tuesday, March 10, 2009

PAKEJ RANSANGAN RM 60 BILLION

Kuala Lumpur 10 Mac-Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini telah membentangkan pakej ransangan ekonomi bernilai RM 60 Billion. Anggaran itu lebih besar daripada andaian pemilik blog dan juga penganalisis ekenomi sebelum ini. Pakej yang disasarkan terus kepada pengguna itu bermatlamat supaya ekonomi yang semakin suram dapat dikejutkan daripada tidur.

Penulis berharap perkara ini dapat sekurangnya menjadi satu anekdot kepada ekonomi yang tidak stabil dan berharap agensi yang berada di bawah dapat menjalankan tugas dengan baik serta amanah dalam melancarkan pergerakan tunai ini dapat dirasai oleh semua orang.

Dengan harapan yang tinggi, penulis dapat merasakan kebimbangan kerajaan kerana pada peringkat awal, ura ura hanya lah RM 10 Billion lebih. Penulis yakin, Menteri Kewangan telah mendapat maklumat yang sewajarnya mengenai keadaan ekonomi semasa. Pada waktu seperti sekarang ini, seharusnya maklumat yang diberikan seharusnya tepat dan juga cepat dalam masa yang sama berhati hati tapi terbaik. Demi Agama, bangsa dan negara.

Wednesday, March 4, 2009

SOLAT HAJAT UNTUK EKONOMI NEGARA

Penulis telah terbaca mengenai cadangan solat hajat diadakan bagi mencari kebenaran dari Yang Maha Mengetahui mengenai krisis ekonomi yang berlaku di negara tercinta ini. Bagi pandangan peribadi penulis, penulis setuju dengan cadangan yang diberikan. Kerana Yang Maha Esa berfirman supaya hambanya meminta kepadaNya kerana Dialah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi.

Solat hajat boleh dilakukan sama ada secara solo atau besar besaran. Kerana berbalik kepada asal, kita hanyalah hambanya yang lemah sahaja dan kepada Nya kita berserah. Selepas kuat kita berusaha, kita menyerah kepada Nya untuk menentukan yang terbaik kepada kita seluruhnya dan negara amnya...Bagi yang lain, bolehlah berdoa mengikut cara masing masing kerana semua dari kita sayang kepada negara Malaysia tercinta.

Seperti yang diungkap oleh seorang bloggers, kepadaNya kita berserah...

Tuesday, March 3, 2009

HUJAN OH HUJAN...

Adalah satu perkara yang agak luar biasa bagi negeri Terengganu menerima kedatangan hujan yang lebat pada bulan Mac. Penulis pada peringkat awal tidaklah terkejut sangat dengan kedatangan hujan tersebut. Secara tidak lansung, perkaitan antara pekan Kuala Berang dengan hujan di luar musim berlaku kerana adanya aktiviti yang dijalankan di sini.

Pekan Kuala Berang akan menerima hujan di luar musim sekiranya aktiviti seperti jualan fun fair dan juga pekan budaya sebagai contoh. Mungkin ada benda yang tidak kena. Tapi sekiranya difikirkan balik, kita berbalik kepada asal iaitu, setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Pesta fun fair telah berlalu, namun hujan masih berlansung dengan lebatnya. Hujan yang turun seolah olah Kuala Berang akan dilanda musim tengkujuh yang ke dua. Perubahan cuaca yang ketara ini sememangnya menjadi satu tanda tanya kepada penduduk Kuala Berang yang tidak biasa mengalami rahmat Tuhan ini pada bulan Mac setiap tahun.

Penulis mengambil ia sebagai satu rahmat kepada pokok pokok di hutan. Tiada siapa yang menyiramnya dan Januari dan Februari menyaksikan keadaan dalam kering kontang dan ada tanah yang mula merekah. Rahmat kepada si penoreh getah yang mengalami penurunan harga komoditi itu di tahap yang rendah. Keadaan kering, tapi penoreh dapat menoreh getah. Dan sekarang bermula hujan di luar musim. Alhamdulillah, syukur rahmat Tuhan.

Sekiranya hujan lebat ini berlanjutan, agensi agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Bomba dan Penyelamat serta pihak berkuasa tempatan Majlis Daerah perlu mengambil inisiatif bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.