Saturday, December 25, 2010

SALAM HARI NATAL

Malaysia sekali lagi meraikan hari cuti dengan sambutan Hari Natal yang akan disambut pada hari ini, 25 haribulan setiap tahun. Pendapat berbeza terdapat mengenai hari Natal. Ada yang mengatakan hari ini hari kelahiran Jesus, ada yang menyatakan hari selepas kelahitan Jesus dan jangan terkejut ada juga penganut Kristian yang tidak menyambut Hari Natal kerana tidak percaya.

Yang penting, kita semua hidup dalam harmoni. Apa jua sambutan kita sambut dengan sederhana. Meriah tidak mengapa tapi janganlah membazir.

Selamat menyambut Hari Natal kepada mereka yang menyambutnya.

HO HO HO...

Wednesday, December 22, 2010

PENGGUNA PERLU DIUTAMAKAN

Baru baru ini Kerajaan ada mengumumkan bahawa satu entiti yang diterajui oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengambil alih teraju Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada pemegang sedia ada. KWSP membuat bidaaan berdasarkan kepada keuntungan yang akan diperoleh untuk jangka masa panjang.

Bidaaan yang dijanjikan termasuklah tiada kenaikan harga tol untuk jangka masa selama lima tahun dan tidak dijanjikan apa apa sama ada kenaikan atau tidak selepas lima tahun hingga tamat konsesi. Bidaan ini bukanlah yang pertama kerana pertama kalinya dibida oleh Asas Serba yang dikaitkan dengan tokoh korporat, Tan Sri Halim Saad.

Asas Serba berjanji tidak akan menaikkan tol sehingga tamat konsesi. Sekira dilihat dari segi jangka panjang untuk pengguna dan kerajaan, maka jelaslah bidaan yang dikemukan oleh Asas Serba adalah lebih bermanfaat lebih lagi kepada pengguna yang sentiasa mengharapkan tiada kenaikan tol. Malah kerajaan Barisan Nasional akan mendapat ‘benefit of doubt’ dari perkara ini.

Sekira dilihat lebih dalam lagi kesan kepada pengguna, adalah lebih baik kerajaan menerima bidaan daripada SMASH. Satu blog telah membisik bisikkan bahawa ini satu lagi milik Syed Mokhtar Al Bukhary berdasarkan akronim yang bermaksud Syed Mokhtar Highway. Apa pun, semua itu semua teka teki semata mata sama seperti pembida terbaru.

SMASH menawarkan untuk membeli kesemua saham dengan harga yang lagi tinggi daripada Asas Serba, KWSP dan juga yang terbaru. Pemegang saham PLUS masih belum membuat keputusan ketika warta ini dinaikkan. Pengguna akan mendapat kesan yang lebih besar sekiranya memilih SMASH kerana dalam bidaannya SMASH bukan sahaja tidak akan menaikkan kadar tol malah akan mengurangkan sebanyak 10% daripada kadar ketika ini.

Selamat memilih. Yang penting, pengguna perlu didahulukan. Jangan hanya pemegang saham mendapat keuntungan manakalah pengguna terpaksa bergolok gadai dan sentiasa berdebar kerana terdapat kemungkinan harga tol akan dinaikkan dari semasa ke semasa. Penulis memihak kepada SMASH bukan kerana dikaitkan dengan Orang Melayu terkaya di Malaysia tetapi kerana tawarannya yang akan mengurangkan kadar tol sebanyak 10% dari kadar sekarang dan tidak akan naik sehingga tamat konsesi.

Tidak adakah sesiapa atau mana mana Konsortium yang berminat dengan MTD yang memegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur yang lebih dekat dengan penulis. Sekiranya PLUS boleh kenapa tidak pengendali lebuhraya yang lain. Yang penting, PENGGUNA mendapat faedah yang sama besar dengan bakal pengendali.

Tuesday, December 21, 2010

SYED MOKHTAR BERHAK

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari. Satu nama yang besar pada waktu sekarang lebih lebih lagi banyak projek mega kerajaan dikaitkan dengan beliau. Malah pengumuman projek MRT pun membabitkan syarikat yang anak Kedah ini mempunyai nama sebagai syarikat berkaitan Syed Mokhtar.

Begitulah betapa glamornya Syed Mokhtar. Tuhan sahaja yang tahu betapa jelesnya orang dengan beliau malah satu rencana dalam Utusan Malaysia pernah menyebut satu kumpulan orang Melayu telah membentuk satu konglomerat untuk bersaing dengan anak pondok ini dibidang korporat. Dalam erti kata lain cuba mengacau beliau atau lebih kejam lagi cuba menghapuskan beliau.

Baru baru ini beliau sekali lagi dikaitkan dengan satu siri pemilikan Pos Malaysia Berhad. Satu syarikat penghantaran yang tidak diuruskan dengan baik malah menyatakan syarikat itu terpaksa menaikkan harga setem minima untuk mengelakkan kerugian. Dasyat dasyat.

Satu persoalan ialah, kenapa Syed Mokhtar terlalu dibenci orang Melayu kononnya beliau ingin mengambil semua.? Salahkah beliau mengambil syarikat ini kerana beliau memang mampu. Bukannya mendapatkan belas ehsan Kerajaan seperti kebanyakan orang lain ataupun memakai KABEL seperti sesetengah orang lain? Apa salah tindakan beliau?

Semasa PERNAS terlibat dalam kebankrapan dan hampir lingkup, kenapa tiada satu pun orang Melayu yang sanggup menyelamatkan syarikat Bumiputra Melayu tersebut? Kenapa tidak ada satupun konglomerat ditubuhkan untuk menyelamatkan tempat mencari rezeki Orang Melayu tersebut daripada hancur. Tapi Syed Mokhtar menyelamatkan syarikat tersebut dengan hutang yang terlampau banyak hingga kawan berbangsa Cina beliau menyatakan beliau sebagai seorang yang GILA!

Beliau tidak GILA tapi lebih kepada TANGGUNGJAWAB beliau kepada orang Melayu dan satu organisasi yang membantu beliau berniaga semasa peringkat awal. Kenapa sekarang semasa Syed Mokhtar ingin mengambil Pos Malaysia Berhad ramai orang bising? Sekarang di mana kedudukan PERNAS? Namanya telah hilang tapi dengan menggunakan nama baru iaitu TRADEWINDS, carilah sendiri dalam GOOOOOOGLE.

Syed Mokhtar berhak kerana ini jalan yang beliau pilih, berniaga. Tak semua Melayu yang sanggup berniaga tapi Syed Mokhtar pernah memberi amaran siapa siapa yang menyatakan Orang Melayu tidak boleh berniaga, dia sendiri ingin berperang dengan orang itu. Maksudnya Syed Mokhtar percaya kepada orang Melayu.

Tuesday, November 2, 2010

Timbalan Perdana Menteri kena TIPU!

Media massa baru baru ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri dengan bangganya mengumumkan penembusan jalur lebar seluruh negara telah melebihi 50 peratus iaitu pada tahap 53 peratus. Alangkah bagusnya sekiranya berita ini benar.

Tetapi ternyata ada pihak yang telah menipu Tan Sri Muhyidin Yassin. Siapakah yang berani menipu TPM,orang no 2 dalam kerajaan? Apakah yang telah ditipu daripada TPM?

TPM berkata penembusan jalur lebar melebihi 50 peratus dan memasukkan kredit kepada sumbangan netbook percuma kepada pelajar. Ternyata ia tidak benar sekali. Ini kerana pelajar yang mendapat pakej netbook cuma ditawarkan pakej jalur lebar percuma di pusat komuniti. YA...PUSAT KOMUNITI dan bukannya dirumah masing masing. Sekiranya satu daerah mendapat 1000 komputer percuma. Pusat jalur lebar komuniti paling tinggi pun yang wujud hanya sekitar 5 atau 6 pusat sahaja.

Pelajar ini perlu membawa netbook tersebut ke pusat jalur lebar komuniti dan melayari internet di sana. Entah idea siapa yang terlalu pintar ini. Sekiranya ingin melayari internet,perlu ke pusat komuniti jalur lebar.

Ternyata TPM tertipu dan data penembusan jalur lebar perlu dikira semula. Pengiraan yang memasukkan pemberian netbook percuma tidak benar sama sekali dan tidak kukuh. Mereka tidak mendapat akses jalur lebar. Sekiranya hendak dikira juga, kiralah sekali komputer yang terdapat di pusat komputer seluruh negara kerana asasnya sama sahaja pengiraan pengguna netbook yang perlu ke pusat komuniti jalur lebar.

Penulis tumpang sedih dengan nasib yang menimpa Timbalan Perdana Menteri. Pemberiaan netbook sepatutnya disertakan pakej jalur lebar yang boleh diakses di rumah dan bukannya di satu tempat tertentu. Baik tambah komputer di pusat jalur lebar komuniti. Lagi ramai yang boleh menikmatinya.

Yang pasti. Timbalan Perdana Menteri telah dimalukan dengan angka yang sama sekali tidak benar dan tidak wujud.

Tuesday, August 17, 2010

TENAGA ALTERNATIF VS TENAGA KONVENSIONAL

Dari hari ke hari sentiasa mendengar berita baik. Harap berita baik ini berterusan dari semasa ke semasa. Berita baik yang penulis maksudkan ialah Kerajaan dalam rancangan untuk melulukan akta yang akan membolehkan kenderaan elektrik berada di jalan raya secara sah. Adakah ini bermaksud Prius tidak sah...misteri juga itu...

Paling penting industri pemotoran akan berdepan satu suasana yang lebih baik dari yang ada sekarang. Persoalannya, adakah motor atau skuter yang menggunakan petrol akan terjejas. Mungkin tidak bagi mereka yang gemarkan kuasa yang ada pada motorsikal tapi mereka yang terjejas dengan ekonomi dan terjejas dengan perancangan selamatkan kerajaan, berkemungkinan akan beralih arah kepada skuter atau motorsikal menggunakan solar ataupun elektrik ataupun hybrid.

Yang penting, MODENAS pun dah nak masuk campur juga. Yang penting penulis berharap Solarin Turtle kebanggaan rakyat Terengganu akan menjadi kenyataan berada di jalan rayat negara asalnya satu hari nanti. Shabas kepada semua yang akan menjadikan ini satu kenyataan satu hari nanti. Penulis ucapkan tahniah kepada Datuk Sir Archer Ismail secara peribaadi kerana tidak pernah putus asa. Tahniah Datuk!

Saturday, August 14, 2010

MANUSIA VS KAMBING

Bila balik kampung, macam macam hal yang terjadi. Ada kemalangan berlaku dan paling seronok dapat melihat binatang berkeliaran sesuka hati. Tapi bila kita duduk di taman perumahan, ada juga kadang kadang lembu dan kambing biri biri yang sesat. Permandangan paling biasa di taman perumahan ialah burung dan juga ayam. Dulu ada juga itik. Sekarang meriah sikit dengan tambahan aksesori ayam belanda dan ayam api. Macam macam bunyi ada. Tapi taklah sampai macam ASTRO tu macam macam ada. Sikit sikit adalah.

Semasa tengah asyik berehat, suara kambing mengembek beramai ramai memecah suasana. Kambing ini kalau tidak ada kecemasan, tidak suka sangat mengembek beramai ramai. Manusia sahaja yang tidak ada sebab musabab kadang kadang ada perasaaan hendak marah kepada orang lain. Hairan kan. Mana lagi berotak kambing atau manusia.

Berbalik kepada kambing yang bising, tuan punya kambing kata kambing itu cari anaknya. Bodohnya kambing dia pergi masuk kandang dan akhirnya terlupa dia tinggal anak dia dua ekor di luar kandang. Bengapnya si kambing yang akhirnya menyedari tertinggal anaknya di luar kandang mengembek mencari anaknya yang "hilang" itu. Dan sahutannya di sahut rakan rakan kambing yang lain.

Episod pencarian ibu kambing yang tertinggal anaknya itu telah menyebabkan tuan punya kambing dan juga penulis turut serta dalam pencarian. Kawan ibu kambing telah menjumpai anaknya yang tertinggal itu tidak jauh dari kandang kambing. Bodohnya ibu kambing tertinggal anaknya dah akhirnya menyedari peninggalan tersebut.

Sebodoh kambing tidak punya akal dan fikiran akhirnya susah hati kerana tertinggal anaknya di luar kandang. Bagaimana pula dengan manusia yang lengkap dengan akal fikiran membuang anak merata rata tempat. Malah ada yang sanggup membunuh anak itu dengan membuangnya di saluran air. Apa lagi tujuan kalau tidak membunuhnya sekiranya diletak di kawasan berair. Hinanya manusia tersebut. Kambing pun lagi hebat dari manusia yang ada akal fikiran tapi letaknya entah di mana.

Kambing yang bodoh pun masih sasau mencari anaknya yang tertinggal. Kita pula manusia dengan suka hati letak anak kita anugerah Yang Maha Berkuasa di merata rata tempat. Kasih sayang tidak ada lagi. Manusia manusia yang membuang bayi lagi hina dari kambing. Sebusuk kambing ada juga yang di buat ibadat akikah dah korban. Manusia biadap ini pula...

Thursday, August 12, 2010

PELAJAR BERPOLITIK

Media massa melaporkan kabinet baru baru ini telah membuat keputusan untuk tidak membenarkan pelajar Universiti untuk bergiat dalam politik. Bagi penulis, ada pro dan kontranya untuk membenarkan pelajar bergiat dalam bidang politik secara aktif.

Sedar atau tidak, memang ada pelajar yang bergiat aktif dalam politik. Cuma tinggal persoalan sama ada pihak universiti sedar atau tidak, itu sahaja. Memang ada. Cuma perlu diselak disitu dan di sini. Kerja sedikit untuk mencari kebenaran tidak salahkan.

Penulis ingin mencadangkan agar hanya mereka yang dapat mengekalkan purata nilai gred kumululatif atau singkatannya PNGK setiap semester melebih 3.0 barulah dibenarkan bergiat dalam politik. Ini perlu bagi membolehkan mereka ini bukan sahaja aktif dalam politik tapi dalam masa yang sama tidak meninggalkan pelajaran mereka. Politik boleh membuatkan seseorang itu lalai dengannya.

Sebagai contoh abu mendapat PNGK 3.33 dan kemudiannya menurun kepada PNGK 3.32, beliau seharusnya direhatkan dari kebenaran berpolitik. Walaupun masih mengekalkan pointer dalam purata 3.0 tetapi prestasi pelajaran adalah menuruk walaupun hanyak sekitar 0.01 sahaja.

Cadangan tinggal cadangan. Setiap peraturan manusia ada baik dan buruknya. Bergantung kepada kita untuk merubahnya demi peredaran masa. Ada juga yang tidak perlu berubah lansung. Akal dan fikiran kita jauh lebih baik dari super komputer yang wujud di dunia ini. Bersama sama kita berubah ke arah lebih baik.

LIBERALISASI TAHAP MENGARUT

Liberalisasi. Satu perkataan yang digunakan bagi menjual dan menjejaskan perjalanan umat Melayu. Satu persatu keistimewaan orang Melayu ditarik tanpa sebarang penjelasan. Yang ada hanyalah penjelasan yang tahap mengarut dan melampau.

Apakah agaknya yang akan menjadi mangsa menggunakan nama KEMAJUAN...

Melayu oh Melayu...Di mana hilangnya pendekar Melayu

JALAN KUALA BERANG- KUALA TERENGGANU

Naik taraf jalan memberi satu makna yang menyenangkan tapi menjadi sebaliknya kepada pengguna jalan Kuala Berang-Kuala Terenganu. Jalan yang asalnya dari satu lorong dinaik taraf kepada dua lorong yang bertujuan untuk laluan trafik yang lebih baik.

Tapi sebaliknya yang berlaku kepada jalan ini. Dengan tambahan lampu isyarat yang beza jaraknya hanya sejengkal dan merata-rata tempat, jalan ini tidak boleh lagi dikira sebagai naik taraf tetapi diturun tarafnya. Di mana letaknya makna penyelesaian sekiranya jalan jalan ini dipenuhi dengan lampu isyarat yang beribu ribu dan kadang kala mengarut kerana terlalu lama.

Jalan Kuala Berang Kuala Terengganu merupakan satu lagi episod buruk kepada negeri Terengganu. Matlamat asal untuk perjalanan yang lebih selesa dan lancar tapi akhirnya menjadi batang jalan yang membosankan. MENGARUT

Monday, August 9, 2010

PENGGABUNGAN PROTON PERODUA MENGARUT!

Sejak akhir akhir ini banyak benda yang ingin disatukan. Tapi kita terlupa atau buat buat lupa bagaimana kegagalan konglomerat Sime Darby yang merekodkan kerugian lebih daripada RM 1 bilion dan ada yang menganggar melebihi RM 2 bilion. Sime Darby merupakan penggabungan syarikat yang membuat keuntungan setiap tahun iaitu Sime Darby, Kumpulan Guthrie dan juga Golden Hope yang pada peringkat awalnya menggunakan nama Synergy Drive.

Baru baru ini, seorang rakyat mencadangkang agar Proton dan Perodua digabungkan menjadi satu entiti. Adakah Perodua dan Proton Pemalas ini merugikan sehingga wujudnya peluang untuk menggabungkan mereka. Adakah ini satu lagi episod kegagalan korporat yang seharusnya tidak berlaku. Perodua sangat pemalas sehingga hanya membuat modifikasi terhadap bumper dan dalaman kereta sahaja.

CEO Proton syed zainal merupakan produk Perodua pemalas dan akhirnya membawa etika kerja perodua yang suka rebadge kereta jenama lain untuk dijual dengan jenama sendiri. Mana pergi semangat Malaysia Boleh selama ini yang ada pada pekerja Proton.

Tiada lagi kebanggaan yang ada pada Proton. Terlalu malas untuk berusaha mencari dana bagi membuat kenderaan baru. Akan ada sahaja alasan yang tercipta bagi membenarkan perkara yang jelas tidak benar. Penggabungan Proton dan Perodua perlu ditentang habis habisan. Ia adalah sesuatu yang mengarut.

Saturday, August 7, 2010

PROTON PEMALAS PENIPU

Proton pemalas hampir menjadi kenyataan. Memang pemalam warga Proton dewasa ini. Setelah pandai mereka kereta daripada skectch, akhirnya kita kembali kepada rebadge kereta. tahniah pengurusan Proton.

Mv Agusta adalah entiti yang dilupuskan dengan pembohongan terbesar industri automotif iaitu merugikan. Akhirnya MV Agusta membuka pusat sehenti pertamanya baru baru ini. Adakah mereka yang membukanya terlalu gila kerana Proton kata produk ini mengalami kerugian. Sama ada pengusaha baru tersebut GILA ataupun Proton PENIPU!

Wednesday, July 28, 2010

PERMULAAN BARU

Agak lama penulis tidak menulis. Sedikit demi sedikit ada sahaja yang bermain main dalam kepala penulis. Tetapi ada pesanan yang mengatakan penulisan kita mungkin boleh membawa kepada perubahan.

Sama sama kita berubah ke arah kebaikan. Langkah yang panjang bermula dengan langkah yang pertama. 1...2...3...dan masih mengira...

Friday, April 2, 2010

PROTON PEMALAS AKAN DIJUAL

Media massa baru baru ini ada menyiarkan betapa kemungkinan Proton akan dijual kepada syarikat asing. Setelah 25 tahun bertungkus lumus akhirnya Proton akan dijual begitu sahaja oleh Khazanah Nasional yang diketuai oleh seorang ketua yang mungkin tidak tahu erti Proton kepada negara.

Episod menjual MV Agusta kepada sebuah syarikat yang entah dimana wujudnya telah timbul kembali. Setelah pemimpin terdahulu bersusah payah, dengan senang hatinya kepimpinan sekarang menjualnya.

Syabas!

Sunday, March 28, 2010

TARIF HSBB KEJAM KEPADA GOLONGAN PENDAPATAN RENDAH

Pelancaran High Speed Broadband (HSBB) baru baru ini oleh Mohd Najib Tun Abdul Razak menandakan Malaysia bersedia bersaing dan mengikuti era teknologi maklumat. Pelaburan yang tinggi oleh kerajaan dan juga Telekom Malaysia (TM) membuktikan betapa seriusnya kerajaan ke arah hal sedemikian rupa.

Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahhari. Pelancaran monopoli ini sekali lagi tidak mengambil kira golongan berpendapatan rendah. Indah khabar dari rupa. Sekali lagi TM mendakwa mereka telah menawarkan harga yang paling kompetitif. Ya, paling kompetitif apabila tiada pesaing terdekat dalam hal sedemikian rupa.

Pakej VIP 5 yang paling rendah pun menawarkan RM 149.00 sebulan tidak termasuk yuran bulanan sewa talian telefon yang dikepilkan bersama. Ini tidak adil sama sekali bagi mereka yang berpendapatan rendah. Mereka yang berpendapatan kurang dari RM 500.00 perbulan memang tidak akan menyertai kelolaan kerajaan ini.

Perbelanjaan dari kerajaan sangat tinggi dah akhirnya mereka yang menikmati adalah mereka yang berpendapatan sederhana dan juga tinggi. RM 149 untuk 5mbps adalah sangat memalukan. Sepatutnya kos hsbb bermula dari RM 100 paling minima dan bukannya RM 149 yang sangat membebankan pengguna yang ramai. Golongan yang boleh membayar RM 149 paling minima adalah sangat rendah dinegara ini.

Bagaimana dengan golongan miskin. Adakah mereka akan ditawarkan hsbb yang bertaraf rendah. Macam kasta lah pulak kalau difikir secara mendalam. Layanan seperti ini membuatkan kerajaan dilihat sangat kejam setelah membelanjakan wang yang sangat tinggi untuk projek yang akhirnya mendapat faedah ialah mereka yang mempunyai wang yang agak banyak.

Golongan miskin mungkin akan mendapat jalur lebar yang kurang dari 1mbps. Dan perkataan jalur lebar digunakan seperti iklan TM iaitu pakej RM 20 jalur lebar lama yang mana tidaklah lebar mana iaitu 384kbps dan terhad kepada beberapa jam sahaja.

Ternyata harga TM masih terlalu tinggi untuk pengguna dinegara ini. Sekiranya ada pelabur lain ingin masuk dan menawarkan harga yang jauh lebih rendah, adalah satu nikmat yang tidak terkata. TM nampaknya masih merupakan kuku besi kepada rakyat.

Thursday, March 18, 2010

EKONOMI-FUNGSI MAPEN

Mohd Najib baru baru ini menyasarkan pertumbuhan Malaysia akan tumbuh pada kadar 6 % pada tahun ini. Unjuran melebihi bank dunia dan juga Bank Negara yang menyasarkan masing masing tumbuh antara 4.5 % dan juga 4 %. Walaupun terdapat ura ura untuk semakan semua unjuran pertumbuhan ekonomi, penulis masih sangsi dengan angka angka tersebut.

Ada yang memberitahu penulis bahawa unjuran tersebut dilakukan oleh pentadbiran kerajaan bagi meyakinkan pelabur luar untuk masuk melabur dan juga meyakinkan pelabur sedia ada untuk mengekalkan pelaburan. Terdapat beberapa angka angka yang mengelirukan. Antaranya ialah kemasukan pelaburan asing dengan faktor ruang kerja yang disediakan oleh pelaburan tersebut.

Mungkin ada yang akan menyatakan pelaburan pada waktu sekarang lebih kepada berorientasikan kepada robotic dan tidak lagi bergantung kepada tenaga manusia semata mata. Benarkan perkara ini terjadi? Penulis masih lagi sangsi dengan angka angka yang terus bercanggah antara satu sama lain termasuklah agensi kerajaan. Akan ada suara suara yang menyatakan pendekatan yang diambil oleh sesetengah agensi berbeza.

Majlis Perundingan Ekonomi Negara atau MAPEN yang dipengerusikan sendiri oleh Mohd Najib Tun Abdul Razak nampak tidak memainkan peranan yang aktif. Apa yang sebenarnya dilakukan oleh mereka ini yang akhir akhir ini dinamakan kembali oleh media massa sebagai Majlis Tindakan Ekonomi Negara atau singkatannya MTEN seperti waktu gawat 1997 1998.

MAPEN perlu berperanan dengan lebih berkesan bagi menanggani krisis ekonomi yang semakin terasa dari hari ke hari ini. Krisis yang bermula dari tahun 1997 nampaknya masih belum menampakkan tanda pemulihan. Gula gula yang diberikan oleh kerajaan belum menampakkan hasil. Duit banyak keluar tapi rakyat nampak macam seolah ‘menyorok’ hasil titik peluh mereka dan tiada pengaliran keluar dan masuk oleh rakyat.

Seperti kata seorang teman bloggers-Kepada Tuhan Ku Berserah

SOLAR-INISIATIF KERAJAAN

Akhbar baru ini ada melaporkan kerjasama antara sebuah syarikat swasta dan juga sebuah bank terkemuka dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada penghuni sebuah rumah panjang di Sarawak dengan membekalkan tenaga elektrik menggunakan solar. Projek bernilai RM 4.5 juta itu dapat menampung isi rumah sebanyak 45 buah.

Kewangan masih menjadi satu igauan buruk kepada mereka yang berniat untuk memasang solar. Perdana Menteri sendiri telah menekankan bahawa kerajaan bersungguh dalam penggunaan tenaga alternatif. Seperti biasa kesungguhan kerajaan tidak disertakan dengan pelan tindakan dan juga rangka kerja yang sistematik yang menunjukkan kesungguhan kerajaan.

Apakah inisiatif kerajaan kepada pemilik bangunan yang menggunakan solar dibangunan mereka. Sedarkah kerajaan bahawa memiliki solar dinegara ini adalah sangat mahal. Akhbar juga pernah melaporkan bahawa seorang rakyat India yang memasang panel solar dirumahnya bukan sahaja tidak perlu membayar bil elektrik malah dapat menjual tenaga elektrik kepada jirannya. Adakah perkara ini dibenarkan dinegara kita?

Terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian oleh Perdana Menteri sekiranya benar benar komited dalam menjadikan tenaga alternatif sebagai salah satu pelan jangka masa panjang kerajaan. Percakapan perlu diseimbangkan dengan tindakan barulah ramai hormat kepada pemberi ucapan.

Teringat kepada Tan Sri Abdul Rahim, bekas Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu yang tegas tapi dalam masa yang sama mengotakan apa yang dikata…

KEKANGAN KEMAJUAN AUTOMOTIF NEGARA

Sektor automotif merupakan salah penyumbang kepada ekonomi negara dengan cukai yang tinggi melepasi 100% bagi kereta luar yang masuk ke dalam negara. Sejak penubuhan HICOM oleh kerajaan pada tahun 1982 telah menyaksikan pertumbuhan sektor ini dengan lebih tinggi.

Kelahiran Proton, Perodua, Inokom, Naza menjadi saksi kepada sumbangan kepada ekonomi negara. Perkembangan positif ini mencapai puncak apabila Proton melancarkan Waja pada tahun 2000 iaitu sebuah rekaan kereta bermula dari lakaran sehinggalah kepada pengeluarannya dilakukan oleh anak tempatan warga Malaysia.

Malangnya, terdapat beberapa dasar kerajaan yang seolah tidak ingin menyaksikan perkembangan auotomotif negara berada dalam keadaan yang baik. Kumpulan Berjaya yang ingin menjalankan kerjasama dengan BYD dari negara China nampak ada sekatan kerana rancangan yang ingin dilakukan melanggar perkara yang terkandung dalam Dasar Automotif Negara (DAN).

Sistem hybrid dan juga elektrik juga merupakan antara sasaran yang ditetapkan oleh Perdana Menteri. Beliau menyatakan bahawa Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam teknologi seperti ini. Atau adakah kita hanya sekadar ingin menjadi pengguna semata mata tanpa menyertai yang lain dalam mereka dan mengeluarkan kereta hybrid dan juga kereta elektrik.

Pengeluaran kereta hybrid dan juga kereta elektrik melalui kerjasama tersebut melanggar peraturan yang tidak membenarkan pengeluaran pembuat kereta luar untuk memasang kereta bersaiz kecil iaitu bawah 2000 cc untuk dikeluarkan di Malaysia. Perancangan nampak bagus tapi bila berdepan kekangan seperti ini membuatkan Malaysia berada dalam kerugian.

Bagaimana pula dengan kereta yang dijalankan kerjasama antara Proton dan juga sebuah syarikat dari Amerika Syarikat pada tahun lepas. Bagaimana dengan hasilan produk kerjasama sama ada menjadi satu memorandum sahaja atau kajian semata mata tanpa mendapat hasil yang dingini?

Banyak dasar kerajaan yang agak bercanggah dan memerlukan perhatian yang sewajarnya bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara yang kompetitif di pasaran dunia.

KAEDAH KUMP[UL MAKLUMBALAS

Satu dasar yang ingin diperkenalkan oleh kerajaan iaitu GST telahpun dipinda untuk bacaaan kedua bagi mengambil input yang lebih banyak daripada semua pihak. Perkara ini nampak baik dari segi dasar tetapi sekiranya diteliti dengan lebih baik, terlalu ketara yang Kerajaan nampak terlepas pandang perkara yang boleh mengubah sesuatu perkara dengan remeh temeh.

Ketua Kerajaan nampak sangat yang agensi kerajaan kekurangan sumber untuk mengetahui segala genap segi maklum balas yang diberikan mengenai dasar baru ini. Ramai yang menyatakan bahawa GST bukan perkara baru tapi telah lama Cuma kepimpinan ini sahaja yang nampak terlalu beriya ingin melaksanakannya. Persoalannya mengapa sekarang ketika negara masih belum berada dalam keadaan yang agak baik dan ekonomi keluarga yang semakin merudum dan kuasa membeli rakyat berada dalam keadaan tepu.

Perdana Menteri menyatakan bahawa Kerajaan memerlukan masa untuk mengambil lebih banyak input dari pengguna dan rakyat. Persoalan paling besar, bagaimana input ini akan dikumpul untuk menyatakan pengumpulan pendapat. Adalah sangat tidak adil untuk mengambil sesuatu kelompok masyarakat untuk menyatakan bahawa rakyat jelata amnya bersetuju.

Adakah kerajaan mula untuk bertindak kejam. Itu semua bergantung kepada anak Tun Abdul Razak yang sangat diharapkan oleh semua orang setelah negara berada dalam keadaan tidur dan lemah seketika waktu. Keputusan yang tepat atau tidak akan menentukan hukuman yang akan dilaksanakan oleh rakyat selepas ini. Sekiranya rakyat merasa bebannya, maka akan terjadilah perubahan pada peringkat pentadbiran.

Seharusnya pengumpulan maklumat mengambil kira rakyat luar bandar yang ternyata mempunyai pendapatan yang agak kecik berbanding mereka yang berada di Bandar. Penduduk di kota metropolitan juga tidak ketinggalan dengan segala cas servis yang dikenakan terutamanya tol yang berada disekeliling mereka. Adakah adil untuk semua untuk mengambil sekumpulan yang kononnya pakar yang hanya memikirkan kemajuan negara tanpa mengambil kira isi perut rakyat yang akan di isi.

Kerajaan yang adil akan mengambil kira semua perkara sebelum melakukan perkara ataupun mereka akan menjadi bodoh kerana terpaksa mengambil tindakan flip flop untuk menjaga amarah rakyat. Rakyat akan menghukum jika merasa sengsara. Keputusannya sangat memedihkan bagi sesetengah pihak tapi hukuman tetap akan berjalan. Siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya itu terjadi? Adakah maaf akan mencukupi pada waktu itu…

Friday, March 12, 2010

DRAMA TV PERLU DIJUAL

Hiburan merupakan satu elemen penting dalam pergerakan manusia yang semakin pantas bergerak ke hadapan. Walaupun ada golongan yang bergerak ke belakang, namun ia tidak menghalang perkara yang bagus terus berlaku hari ke hari. Dengan pemikiran mereka yang terlampau kreatif melahirkan bermacam ragam aksi dan persembahan demi memuaskan nafsu manusia yang membuak buak.

Drama di telovishen merupakan antara bentuk hiburan ringan yang berkesan untuk pengguna bernama manusia. Namun ada juga manusia yang sudah boleh melarikan dari candu ini seperti yang didakwa oleh aktivis Hisyamudin Rais yang dianggap sebagai perkara yang merosakkan pembangunan manusia itu sendiri.

Terdapat drama yang bermutu dan ada juga yang diterbitkan sambil lewa demi memenuhi kuota slot drama tempatan seperti yang dikehendaki kerajaan berkuasa. Bagaimana sekiranya kita ingin menghargai drama drama ini untuk disimpan oleh kita semua. Anugerah merupakan salah satu cara penghargaan kepada pembuat drama dan juga artis yang terlibat.

Penulis ingin mencadangkan agar pemilik stesyen televishen berkerjasama dengan pembuat drama agar mereka dapat memasarkan dalam bentuk vcd dan juga dvd demi memenuhi permintaan orang seperti penulis. Banyak drama yang bermutu yang boleh dijual kepada umum. Dengan ini juga, pembuat drama dan juga pemmilik televishen dapat menambah pendapatan dan bukan sahaja tayangan kepada umum tapi juga boleh dibuat koleksi.

Semoga industri hiburan tanah air akan terus berkembang dengan positif dengan pembuat drama dan penerbit filem dapat menangkat industri hiburan ke taraf dunia.

Wednesday, March 10, 2010

PROTON SEMAKIN MALAS

Malaysia sekali lagi berada dipeta dunia apabila Proton melancarkan produknya iaitu Proton EMAS baru baru ini di Pameran Motor Antarabangsa Geneva yang disempurnakan oleh penasihat Proton, Tun Dr Mahathir. Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pengerusi Proton, Pengarah urusan Proton dan juga orang yang mereka kereta tersebut. Tahniah diucapkan.

Tapi malangnya kita juga akan mengundur ke belakang apabila pasukan ini menggunakan Mitsubshi Lancer untuk kereta model sedan baru Proton kononnya. Penulis terpaksa mengakui yang penulis sekarang ini malu dengan Proton. Malu kerana malasnya pasukan Proton. Ataupun hanya ingin mengambil jalan mudah seperti terjualnya MV Agusta kepada satu pihak yang sangat asing dalam kerugian yang amat teruk. Bukan itu sahaja, malah ditipunya rakyat bahawa penjualan untuk mengelakkan kerugian.

Penulis secara terbuka berharap Syed Zainal Abidin akan diganti dengan orang yang baru dan berani berhadapan cabaran dalam menjual nama Malaysia dan tidak seperti Perodua yang hanya menukar bumper depan dan belakang. Kalau inilah Proton yang akan dibanggakan, tiada apa lagi yang ada pada Proton seperti sebelum ini.

Malah tanahnya di Shah Alam sudah ada ura ura hendak dijual. Kenapa hendak dijual. Itukan aset Proton. Semoga Allah selamatakan Proton dari tangan tangan yang memusnahkan kerana ia adalah aset negara dan bukannya bahan ketawa orang.

Penulis tidak dapat menghalang rasa meluat terhadap Proton dengan rebadge terbaru ini.

Sunday, February 21, 2010

LAMPU ISYARAT DENGAN DETIK MASA

Jauh berjalan luas permandangan. Itu nasihat orang orang tua dahulu kala. Sama ada kita mengendahkannya atau tidak, ia tetap menjadi panduan kepada sesetengah orang yang inginkan ilmu pengetahuan. Malah ada nas yang menyatakan tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad.

Setiap rekaan manusia pasti ada tujuannya. Setiap ciptaan itu juga tidak sempurna berlainan dengan kejadian Yang Maha Esa. Penulis sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat menggunakan kenderaan dan tempat penulis tinggal merupakan satu kawasan yang penuh dengan lampu isyarat. Mungkin bolehlah selepas ini dipanggil tempat penulis ini Kuala Berang darul "traffic light".

Penulis ingin mencadangkan kepada kerajaan agar menambah baik setiap lampu isyarat ini dengan detik masa. Ini bukan sahaja akan memudahkan pergerakan dan juga pemandu tetapi juga membantu dari aspek keselamatan. Pemandu yang melihat detik lampu hijau akan dapat mengagak kenderaan mereka sama ada untuk memperlahankan kenderaan ataupun berada dalam kelajuan biasa. Ini secara tidak lansung akan dapat mengurangkan situasa pemanduk yang terpaksa memberhentikan kenderaan secara mengejut kerana lampu merah menyala secara tiba tiba semasa dalam kelajuan agak tinggi untuk melintasi lampu isyarat.

Harapan penulis, dengan terjadinya cadangan yang agak membebankan kerajaan dari segi bajet yang agak besar ini, dapat menjadikan jalan raya adalah satu tempat yang selamat dan pemanduk tidak lagi berada dalam keadaan teragak agak setiap kali melintasi lampu isyarat kerana detik masa telah berada dan mereka sedar mengenai hal ini.

Friday, February 19, 2010

2010

Agak lama penulis tidak menulis dalam blog ini. Agak kesepian tanpa sebarang hebahan terbaru dari blog ini khususnya dari penulis. Kadang kadang banyak perkara yang bermain dalam fikiran penulis tapi sikap malas masih menghantui penulis.

Sedar atau tidak, kita semakin menghampiri bulan Mac 2010. Banyak perkara berlaku dalam dan luar negara. Penulis lebih berminat perkara yang berkisar dalam negara kesayangan ini. Tempat jati orang Melayu Islam.

Nampaknya cadangan penulis supaya orang ramai dapat memiliki komputer secara ansuran walaupun tanpa kad kredit telah disambut baik oleh Kerajaan 1malaysia. Terima kasih kerana meneruskan cadangan tersebut. Mungkin ada yang telah terfikir dan menyampaikannya kepada kerajaan. Namun adalah lebih baik sekiranya skim RM 50.00 sebulan dapat diperluaskan juga kepada pelajar separuh masa.

Tahun ini juga merupakan tahun inovasi. Terima kasih juga kepada pakcik Mohd Najib Tun Razak. Penulis enggan mengiktiraf pangkat beliau atas beberapa sebab. Pelancaran demi pelancaran diadakan demi mewujudkan tahun inovasi. Perlu diingat bahawa yang akan menjadi penghakiman ialan pada peringkat perlaksanaan. Itu yang paling penting.

Permulaan yang baik telah terjadi dan diharap akan terus berterusan tanpa membuang mana mana hak mereka yang telah diperuntukkan Perlembagaan. Meritokrasi akan menjadi kejam sekiranya mereka yang benar benar berhak dinafikan kerana konsep yang entah dari mana menjadi kiblat.