Monday, December 8, 2008

PENYEMBELIH MUDA....DI MANA

Pada hari besar ini, penulis telah diberi peluang oleh Yang Maha Kuasa melalui orang perantaraanya untuk melakukan ibadat yang disunat kan ini. Dalam asyik memotong daging kepada yang lebih kecil, terdetik di hati penulis sekiranya orang orang yang menyembelih ini pergi dahulu meninggalkan generasi muda, berapa keratkah yang mampu dan pandai menyembelih ternakan sama ada untuk korban, akikah mahupun untuk kenduri kendara di kampung masing.

Penulis tidak pasti di negeri negeri lain, tapi di Terengganu penulis perhatikan bahawa kuragnya tenaga orang muda yang berani dan yakin untuk menyembelih ternakan besar ini termasuklah lembu mahupun kerbau. Sekiranya ayam yang akan menjadi korban, penulis yakin, ramai yang boleh melakukan perkara ini. Tetapi bagaimana dengan mahluk berkaki empat ini?

Kadang kadang, ada juga terjumpa di sana dan sini tenaga muda yang pandai menyembelih binatang ternakan tetapi bagaimana sekiranya pada satu ketika, terdapat banyak ternakan untuk disembelih dan tempat yang hendak dituju adalah terlalu jauh pada satu satu masa. Mungkin perlu diadakan kursus untuk menyembelih ternakan khususnya ternakan berkaki empat ini. Dan mungkin juga kursus ini telah ada tapi sambutannya dikalangan orang muda adalah kurang kerana tidak berminat.

Tetapi penulis yang boleh diibaratkan sebagai katak di bawah tempurung ini tidak mengetahui seandainya wujud kursus sebegini. Mungkin perkara ini tidak lagi kritikal pada waktu sekarang, tetapi bagaimana dengan sepuluh atau dua puluh tahun akan datang...

PROTON PEMALAS

Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) melalui anak syarikatnya telah menandatangani satu perjanjian persefahaman(mou) dengan syarikat pengeluar Jepun iaitu Mtsubishi Motor Corporation (MMC).

Terdapat banyak klausa dalam perjanjian tersebut setelah sekian lama MMC menjual semua sahamnya dalam kereta nasional terbabit. Antaranya ialah memboleh model Proton dibangunkan secara bersama secara lesen daripada MMC.

Senang cerita "rebadge". Tahniah CEO proton, Syed Zainal. Setelah hampir 9 tahun sejak tahun 2000 yang mana Proton mengeluarkan kereta sendiri daripada lakaran sehingga terbentuk Proton Waja, akhirnya setelah berganti Ketua Pegawai Eksekutif, Proton kembali kepada aktivitinya yang lama. Susah sangat ke hendak menunggu lama dan belajar sedikit demi sedikit walaupun lambat kerana menurut Orang Melayu paling kaya di Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari-"Tidak apa bersusah sedikit kerana yang susah itu yang kekal".

Penulis sendiri kecewa dan harapan untuk melihat Proton ke tahap yang lebih gemilang tidak tercapai nampaknya dengan termeterainya mou tersebut. Sekiranya pada satu hari nanti ditakdirkan kereta Proton memenangi anugerah ataupun menjadi "best seller" di seluruh dunia, Proton bukan lagi Proton.

Proton telah menjadi pengeluar kereta yang malas. Malas berusaha dan takut dengan cabaran. Penulis kecewa dengan keadaaan ini. Produk Proton selepas ini bukan lagi menjadi kebanggan penulis kerana ternyata orang dalam Proton malas berusaha. Penulis bangga dengan Produk Proton yang direka sendiri oleh Orang Malaysia bermula dengan Waja, Arena, Neo, Savvy.

Buruk macam mana pun ia adalah tanda titik peluh orang Malaysia yang berusaha tidak kira penat dan lelah demi menaikkan nama negara. Tetapi nampaknya Syed Zainal yang ternyata datang daripada Pengeluar kereta nasional yang malas iaitu Perodua telah membawa perkara ini ke dalam Proton. Penat sangat ke untuk berusaha mengeluarkan produk yang direka oleh anak tempatan. Kalau direka oleh Lotus pun banyak diambil oleh pengeluar untuk dipakai oleh mereka.

Tahniah Syed Zainal untuk klausa pemalas itu. Rindu dengan sentuhan Tengku Mahaleel. Bekas CEO proton yang belajar sejarah tetapi dalam zaman kegawatan, Proton tidak pernah mencatat kerugian malah berjaya mendirikan kilangnya sendiri di Tanjung Malim.

Proton, penulis kecewa dengan mu yang selama ini berada di hati penulis untuk memilik suv proton satu hari nanti...Orang yang malas tidak berhak berada dalam hati penulis untuk penulis membayar sejumlah wang yang banyak...Proton adalah pemalas...

ANEH ATAU UNIK

Sepasang kekasih berjalan bersama sama berpimpin tangan disatu pagi yang indah di tepi pantai yang terbentas luas. Mereka memakai baju dan celana pada satu rona yang sama. Memang indah saat bercinta, bukan sahaja hati yang menjadi satu tetapi juga warna pakaian. Penulis tidak mahu mentafsir lagi apa yang sama pada hari tersebut. Penulis tidak pernah 'dating' walaupun pernah mempunyai kekasih hati bertukar tukar kerana semuanya berada di alam maya. Disebabkan itu, penulis tidak pernah merasai kenikmatan manisnya madu keluar bersama sama dengan si jantung hati memakai warna yang sama.

Sepasang kekasih sehidup semati itu mungkin telah berpakat sebelum itu lagi untuk memakai pakaian yang sama warnyanya. Bagaimana pula dengan mereka yang bukan sepasang kekasih tetapi kerap memakai pakaian yang hampir sama dengan seorang lagi rakan. Mungkin ini adalah suratan atau kebetulan, itu tiada siapa yang tahu.

Pernahkan anda terasa ingin menyanyikan sebuah lagu dan pada masa yang sama rakan anda telah menterjemahkan lagu itu di bibir mereka? Penulis telah merasai pengalaman unik ini beberapa kali. Jika diambil kira suasana mahupun rancangan televisyen yang ditonton, tidak pula berkait dengan lagu yang ingin dinyanyikan itu. Unik atau aneh itu penulis tidak pasti tetapi ada kemungkinan perkara ini berkait dengan psikologi dipersekitaran masing masing pada waktu tersebut.

Setiap kejadian yang diciptakan itu mempunyai sebab musababnya termasuk mati...

Thursday, December 4, 2008

ORANG TERENGGANU SUKA BERMAIN HUJAN

Musim tengkujuh telah sampai dan orang Teranung sekali lagi berhadapan dengan musim banjir. Memang sudah kebiasaan Teranung akan dilanda musim tengkujuh pada bulan 11 dan 12 tetapi nampak gayanya tahun ini lambat sikit daripada biasa. Mungkin Sang Pencipta mahu memberikan rezeki kepada hambaNya khusu penoreh getah yang menghadapi penurunan harga getah di pasaran...Terima kasih Tuhan...

Musim tengkujuh juga merupakan rahmat kepada sesetengah orang kerana dapat mengail mungkin...Boleh ke mengail pada musim air besar...Tetapi perkataan yang paling glamor dalam musim bah ialah mukat atau perkataan yang betul Dewan Bahasa dan Pustaka nya ialah aktiviti memukat...Biarkan Sang Luncai terjun dengan labu labunya...

Orang Teranung juga suka memulakan aktiviti mengorek pada musim hujan. Kemudian banyak jalan yang akan ditutup. Jalan-jalan alternatif yang disediakan nampaknya tidak berguna kepada orang Ulu Teranung yang lebih suka kepada jalan pintas. Malah ada papan tanda yang disediakan oleh pihak kontraktor hujan ini selamber je dialih oleh orang orang tertentu. Tidak pernah penulis melihat papan tanda dialih selain dari protes satu projek di Selangor.

Orang Teranung memang suka main hujan dan memulakan projek pada waktu hujan. Mungkin seronok sekiranya kontraktor ini memulakan projek mereka pada waktu hujan. Hujan itu kata orang satu rahmat. Mungkin juga rahmat sekiranya memulakan projek pada musim hujan. Mungkin juga mereka yang berkuasa mendapat ilham untuk memulakan sesuatu projek setelah hujan turun. Memang rahmat kepada kontraktor mendapat projek dan azab kerana memulakan sesuatu pada musim hujan.

Hujan oh hujan, kenapa engkau turun...macam mana aku tak turun, katak panggil aku, katak panggil aku...

PROJEK PELIK PELIK

sementara menunggu ni kita ada benda ar terlintas dalam fikiran penulis. Telah lama penulis pendamkan dan hari ini boleh terluah dalam perkataan. Projek, projek dan projek. Hulu Terengganu merupakan sebuah daerah yang besar tapi kecil kemajuannya. Kita mempunyai tasik buatan yang terbesar setakat ini pada tahun 2008 iaitu Tasik Kenyir dan juga sebuah bandar di bawahnya iaitu Kuala Berang.

Daerah yang kecil memerlukan projek yang berganda ganda jumlahnya bagi memastikan pembangunannya yang kononnya dirancang tidak terbantut ditengah jalan. Baru ini keluar kenyataan daripada Orang Besar mengenai peruntukan kepada projek kawasan luar bandar yang berjumlah bilion bilion. Alhamdulillah yang mampu diucapkan.

Tetapi malangnya projek yang sampai ke Kuala Berang dan Hulu Terengganu amnya adalah projek yang sia sia. Ada juga projek yang sampai ke daerah besar ini berguna dan bermanfaat. Tetapi kebanyakan yang sampai adalah projek yang pelik pelik. Penulis katakan pelik kerana seolah olah Daerah ini sudah sakit kepala untuk memikirkan projek apa yang perlu dilaksanakan walhal banyak lagi sepatutnya pembangunan dijalankan tetapi tidak nampaknya.

Banyak projek yang bertindan dengan projek Kerajaan Persekutuan. Projek ini cuma hidup untuk mungkin satu atau dua tahun sahaja dan selepas itu akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek jangka masa panjang termasuklah lebuhraya Pantai Timur dan juga pembesaran jalan kepada empat lorong.

Duit banyak tetapi kenapa dibazirkan. Kalau Hulu Terengganu macam Kuala Lumpur, ini bukan lagi persoalan kerana kontraktor juga perlu diberikan projek...Hulu Terengganu...

Monday, December 1, 2008

AWAS! AIR HUJAN DI TERENGGANU TAJAM!

Sejak dua tiga hari kebelakangan ini, Terengganu serta negeri pantai timur yang lain-Kelantan dan Pahang telah dilanda angin monsun timur laut. Walaupun sedikit lambat daripada biasa, tapi nampaknya telah berjaya menenggelamkan beberapa tempat termasuk di tempat penulis sendiri di Hulu Terengganu. Antara kawasan yang dilanda banjir termasuklah Bukit Kolam dan Kampung Kepah. Dilaporkan juga di sekitar kawasan rumah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Cikgu Mohd Nor juga digenangi air dan satu ketika tidak dapat dilalui oleh kereta. Bas dan Lori masih boleh melalui kawasan tersebut. Satu kampung rakan penulis diberitakan bahawa rumah beliau juga telah dinaiki air setelah hampir 40 tahun tidak dinaiki air.

2008 Bukan sahaja menyaksikan tragedi aneh itu, tetapi juga air hujan yang dibawa sekali bersama sama. Air hujan yang melanda pada tahun ini keadaan fizikalnya sangat tajam. Penulis tidak pasti bagaimana agaknya titis air hujan pada tahun 2008 khususnya musim banjir pada tahun ini secara teliti. Tetapi yang pasti, air hujan ini telah berjaya membuatkan jalan jalan di Terengganu khususnya di kawasan Hulu Terengganu tumbuh jerawat batu. Banyak lompang lompang di sana sini. Kalau tanah tidak menjadi hairan tetapi juga kepada kawasan jalan yang disaluti dengan tar. Memang tajam air hujan pada tahun ini.

Penulis kagum dengan penduduk Terengganu yang bermain hujan kerana tidak tembus dengan air hujan yang sungguh tajam ini. Begitu juga dengan kenderaan khususnya kereta dan bas yang lansung tidak tembus apabila langit mencurahkan airnya. Tar boleh tembus, manusia dan kenderaan tidak tembus. Memang penulis boleh katakan bahawa manusia dan kenderaan di Terengganu memang hebat sebab tidak tembus dek air hujan berbanding dengan tar jalan yang lompang merata rata tempat disebabkan tragedi hujan.