Saturday, April 11, 2009

PENYOKONG GEDEBE

Selasa yang lepas telah menyaksikan episod malang dalam arena sukan negara khususnya kepada peminat bola sepak. Ramai telah maklum bahawa bagaimana ganasnya peminat pasukan bola sepak di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu Kelantan beraksi pada malam selepas perlawanan yang menyaksikan pasukan tuan rumah tumpas kepada pasukan Kedah.

Sekalut manapun perlawanan atau sepincang mana pun keputusan perlawanan, kalah menang adat bertanding. Apa salah trak polis dan kenderaan orang awam berhampiran stadium di bakar dan dirosakkan. Wah..Hebatnya penyokong fanatik pasukan ini.

Bagi penulis, penyokong di Kelantan perlu diambil tindakan sekeras mungkin kerana gagal mengawal kelakuan masing masing. Hukuman telah dikenakan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA). Penulis tidak faham budaya mana yang diterapkan kepada peminat bola sepak. Tidak ingatkah mereka, yang mereka sedang berada di dalam Kota Bharu, Bandaraya Islam.

Islam melarang umatnya merosakkan harta benda awam yang bermanfaat kepada orang ramai. Islam juga melarang umatnya menimbulkan pergaduhan apa lagi rusuhan yang membawa kepada pembakaran trak polis. Menteri Besar Kelantan yang bertaraf Tok Guru perlu menasihati mereka ini agar menerima keadaan sama ada menang atau kalah. Kerana kebanyakan pelajaran kita datang semasa kita mengharungi kegagalan. Yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua. Tapi peristiwa di Kelantan membawa sedikit perubahan, yang kalah, kalah teruk dan membawa aib kepada pasukan.

PROTON TERDESAK-2

Akhbar The Star hari ini melaporkan bahawa ada kemungkinan berlaku penggabungan antara Proton dan juga Perodua. Selang beberapa hari yang lepas, Pengarah Urusan Proton ada menyebut mengenai berkemungkinan bekerjasama dengan General Motor yang hampir muflis. Hari ini, sekali lagi orang yang hanya tahu tukar lencana sahaja nak bergabung dengan "geng" lama dia di tempat lama beliau.

Adakah ini satu langkah yang ingin populer kerana Proton diketahui umum berada dalam kerugian. Setelah diputar alam oleh orang baru ini mengenai kerugian Proton, masyarakat masih tidak dapat menerima kenyataan MV Agusta dijual pada 1 Euro sahaja. Penulis berharap PAC berjumpa sesuatu dalam pencarian mereka. Dan besar harapan penulis supaya Syed Zainal dibuang kerja kerana telah lama berusaha menghapuskan Proton.

Perodua yang hanya tukar lencana dan bumper ingin digabungkan dengan Proton adalah satu usaha yang membazir. Perodua yang nama sahaja Perusahaan Otomobil Kedua walaupun pada dasarnya milik Daihatsu/Toyota tidak layak menjadi rakan kongsi Proton. Syed Zainal memang perlu meletakkan jawatan kerana mencuba sesuatu yang akan merugikan Proton. Perodua dilihat sebagai saingan Proton dan ini adalah baik untuk industri otomotif itu sendiri baik dari segi vendor dan juga kakitangan syarikat.

Penulis sekali lagi ingin menegaskan-Pengarah Urusan Proton perlu ditukar. Syed Zainal telah mengkhianati semangat kakitangan pekerja Proton dengan mengambil ramai pekerja Perodua dan menyisihkan pengurusan kanan di Proton.

Friday, April 10, 2009

TONG TIDAK ADA, BUANG SAHAJA MERATA RATA

Pekan Kuala Berang yang terletak 40 kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu merupakan sebuah pekan kecil yang jauh dari pembangunan pesat bandar bandar lain di negeri ini. Sebab musabab, hanya orang Kuala Berang sahaja yang mengetahuinnya. Pekan Kuala Berang mengadakan pasar minggu pada hari Rabu dan Sabtu. Itu tidak termasuk dengan pasar malam yang beroperasi pada hari Selasa dan Jumaat. Kalau waktu dahulu, hari Isnin menjadi pilihan untuk di adakan pasar tani, penulis tidak tahu pada hari apakah pasar tani di adakan sekarang.

Sedikit sebanyak, pasar pasar ini sekurangnya dapat menambah pendapatan penduduk disekitar yang menjual bermacam macam barangan. Kebiasaannya barang yang paling populer didapati di sini ialah barang berasaskan makanan. Sama ada mentah mahupun bermasak. Gerai gerai ini akan dibuka dan orang ramai boleh membeli barang keperluan masing masing. Paling ramai rakyat Ulu Terengganu ialah pada hari giliran sama ada hari Rabu atau pada hari Sabtu. Manusia manusia disekitar Hulu Terengganu akan keluar dari segenap kampung demi menjalankan urus niaga.

Setiap kali disebut pasar, penulis sedih kerana penulis terus dapat membayangkan betapa kotornya sampah sampah dan bertimbunnya sampah yang dibuang oleh pengunjung pasar ini. Benar, ada pihak yang akan membersihkan sampah terbabit, tapi masalahnya sikap pengunjung dan juga pihak berkuasa tempatan yang tidak menyediakan bakul sampah di kawasan pasar ini. Penulis tidak menyalahkan pengunjung semata mata. Kerana pengalaman penulis sendiri yang membawa plastik pembungkus makanan dari hujung ke hujung tapi tidak ada tong sampah yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Mungkin mahal tong sampah ini dan pihak majlis tidak mempunyai peruntukan untuk membeli tong sampah untuk diletakkan di pasar pasar ini. Benar pasar ini tidak kekal, namun berat sangatkah tong sampah yang ada dipasaran. Mungkin penulis terlalu bias, tapi penulis pernah pergi ke pasar atau disebut Tamu di negeri bawah bayu. Di sana, di tengah tengah Tamu, akan ada kelihatan tong sampah kecil disediakan pihak berkuasa tempatan. Benar, masih ada yang membuang sampah merata rata, tapi tidak sebanyak di bandar bawah tasik ini.

Kebersihan adalah tanggungjawab kita bersama. Penulis kadang kadang kasihan dengan mereka yang membersihkan sampah sampah ini, tapi apakan daya penulis. Pihak berkuasa tempatan di Kuala Berang tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk menyediakan tong sampah di pasar pasar ini.

TRAGIS BERMATA EMPAT DAN ENAM

Pada bulan Mac baru ini, satu kemalangan telah berlaku di Kuala Terengganu yang menyaksikan kemalangan maut seorang perempuan yang sedang asyik membalas sistem pesanan ringkas sambil membawa motor. Penulis tersentak kerana tragedi ini berlaku setelah beberapa hari penulis menaikkan tajuk mengenai penunggang yang bermata empat dan juga enam di Terengganu.

Adalah satu perkara yang menyedihkan di mana perkara ini menjadi semakin lumrah kepada penduduk Terengganu. Penulis harap perkara ini tidak terjadi lagi pada masa hadapan. Panggilan mahupun pesanan yang dihantar tidaklah seberapa penting nyawa yang melayang.

STATUS MTEN SELEPAS MAJLIS PENASIHAT

Hari ini, genap satu minggu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pemerintahan negara dari yang terdahulu. Selamatkan menjalankan tugas Datuk Seri. Semalam juga diumumkan nama nama Jemaah Menteri yang baru. Ada yang baru dan ada yang lama. Selamat bertugas diucapkan kepada semua. Walaupun ada beberapa orang yang penulis tidak gemari kerana beberapa sebab, namun anak Tun Abdul Razak semestinya mempunyai sebab yang hanya beliau ketahui pro dan kontranya.

Harapan penulis tidak lain tidak bukan, menubuhkan kembali Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) seberapa segera. Namun sekiranya dilihat acara semalam, Perdana Menteri juga ada menerangkan mengenai Majlis Penasihat Ekonomi Negara. Tidak diketahui sejauh mana Majlis ini bertindak dan cara mereka berkerja dan siapa ahlinya. Namun, bagi mereka yang tidak berminat politik, kestabilan ekonomi di mana mereka boleh keluar mencari kerja dan mendapatkan wang untuk menampung ahli keluarga masing, itu lebih penting.

Selamat berkerja kepada semua lapisan masyarakat demi memacu Malaysia maju pada tahun 2020, insyaAllah.

PROTON TERDESAK

Akhbar The Star hari Rabu, 8 April 2009 melaporkan Proton sedang berunding dengan General Motor dan Renault dari Perancis untuk membolehkan mereka mengadakan kerjasama sama ada secara teknikal atau secara jualan ekuiti. Pengarah Urusan Proton, Syed Zainal memberitahu pemberita dalam satu temuramah bersama pemberita baru baru ini.

Sekiranya ada membaca lagi akhbar The Star pada hari yang sama dalam bahagian ekonomi luar negara, anda akan menjumpai berita mengenai GM sedang menghadapi kemungkinan muflis. Pandai betul Syed Zainal mencari rakan kongsi sehinggakan yang dah nak muflis pun tidak menjadi satu masalah kepada Proton. Nampak macama Proton dah terlalu terdesak nak mencari rakan kongsi sehinggakan yang hampir muflis pun masih nak bergabung. Menjual ekuit pun dikira boleh kerana terdesak.

Mungin juga kerana ayat pengarah urusan Proton yang dibanggakan ramai rakyat iaitu " Kerugian adalah satu perkara biasa pada waktu ini". Mungkin juga penulis terlalu bias kepada Tengku Mahaleel jadi penulis tidak dapat memberi penilaian yang sebaik mungkin kepada Syed Zainal. Tapi kerugian perkara biasa adalah satu ayat yang tidak patut diluahkan oleh seorang seperti beliau.

Perdana Menteri pun dah bertukar baru. Antara hajat penulis ialah Syed Zainal ini dibuang dari Proton! Selamatkan Proton dari Syed Zainal yang ingin menghancurkan Proton ke tahap yang terendah dan menjualnya!