Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) baru sahaja selesai mengeluarkan dua keputusan peperiksaan besar negara iaitu Sijil Pelajaran Malaysia dan juga Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Tidak lupa juga keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Bermula detik tersebut, semua pelajar bertungkus lumus mencari hala tuju masing masing. Ada yang ingin ke Universiti, Politeknik atau mencari kursus seperti jururawat atau di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan tidak kurang juga yang mencari pekerjaan terus kerana tidak dapat meneruskan pelajaran atau sudah tidak berminat.
Terdapat segelintir pelajar ini akan memasuki matriks. Sama ada selama satu tahun ataupun paling panjang, dua tahun. Penulis sebenarnya menjadi orang betul bendul dan akhirnya tertipu mengenai matriks yang sebenar. Penulis tidak pernah memasuki matriks kerana penulis bukanlah orang yang terpelajar pun. Hanya sekadar menimba ilmu secebis dua sahaja. Syukur untuk semuanya yang pernah dinikmati. Hanya pada tahun 2003, baru penulis mendapat tahu yang matriks sebenarnya tidaklah terikat kepada pelajar aliran sains sahaja. Tetapi juga kepada pelajar yang kukuh matematiknya. Maksudnya mereka yang mengambil ekonomi dan juga Prinsip Akaun semasa SPM, akan berpeluang memasuki matriks selain dari aliran sains seperti yang diketahui umum khususnya di Hulu Terengganu. Sayang seribu sayang...Berapa kerat mereka yang handal matematik diberi peluang untuk mengambil mata pelajaran Prinsip Akaun dan juga Ekonomi semasa di tingkatan empat dan lima?
Mengapa di Hulu Terengganu, tidak pernah penulis mendengar mereka yang memasuki matriks kerana kuat dengan Matematik atau Prinsip Akaun atau Ekonomi. Perkara ini terjadi disebabkan sekolah tidak memberi peluang kepada mereka yang cemerlang matematik tapi tidak berminat dengan sains tulen untuk belajar mata pelajara Matematik, Ekonomi dan Matematik. Ini adalah fakta! Mengapa kita menafikan hak pelajar Hulu untuk berjaya dalam bidang lain khususnya ekonomi semata mata kerana mereka tidak minat mata pelajaran sains tulen seperti Fizik, Kimia dan Biologi.
Pelik Pelik...Kebanyakan sekolah di Hulu Terengganu membuka kelas Prinsip Akaun atau Ekonomi kepada mereka yang gagal dalam Matematik semasa peperiksaan Penilaian Menengah Rendah. Bagaimana mereka yang gagal matematik mahu memahami benda yang semakin kompleks dalam Prinsip Akaun dan Ekonomi. Tidak salah mencuba cuma tidak kena pada tempatnya. Kenapa tidak dibuka kepada mereka yang cemerlang matematik tapi tidak cenderung mengambil Fizik dan Biologi. Mereka masih boleh cuba meneruskan kecemerlangan mereka dalam ilmu kira kira.
Semoga pada masa hadapan, perkara ini dapat diperbetulkan kerana sebenarnya kita sedang menafikan hak anak anak kita untuk mendapat peluang yang terbaik untuk diri mereka demi masa hadapan mereka.
Thursday, March 19, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment