Saturday, December 25, 2010

SALAM HARI NATAL

Malaysia sekali lagi meraikan hari cuti dengan sambutan Hari Natal yang akan disambut pada hari ini, 25 haribulan setiap tahun. Pendapat berbeza terdapat mengenai hari Natal. Ada yang mengatakan hari ini hari kelahiran Jesus, ada yang menyatakan hari selepas kelahitan Jesus dan jangan terkejut ada juga penganut Kristian yang tidak menyambut Hari Natal kerana tidak percaya.

Yang penting, kita semua hidup dalam harmoni. Apa jua sambutan kita sambut dengan sederhana. Meriah tidak mengapa tapi janganlah membazir.

Selamat menyambut Hari Natal kepada mereka yang menyambutnya.

HO HO HO...

Wednesday, December 22, 2010

PENGGUNA PERLU DIUTAMAKAN

Baru baru ini Kerajaan ada mengumumkan bahawa satu entiti yang diterajui oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengambil alih teraju Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada pemegang sedia ada. KWSP membuat bidaaan berdasarkan kepada keuntungan yang akan diperoleh untuk jangka masa panjang.

Bidaaan yang dijanjikan termasuklah tiada kenaikan harga tol untuk jangka masa selama lima tahun dan tidak dijanjikan apa apa sama ada kenaikan atau tidak selepas lima tahun hingga tamat konsesi. Bidaan ini bukanlah yang pertama kerana pertama kalinya dibida oleh Asas Serba yang dikaitkan dengan tokoh korporat, Tan Sri Halim Saad.

Asas Serba berjanji tidak akan menaikkan tol sehingga tamat konsesi. Sekira dilihat dari segi jangka panjang untuk pengguna dan kerajaan, maka jelaslah bidaan yang dikemukan oleh Asas Serba adalah lebih bermanfaat lebih lagi kepada pengguna yang sentiasa mengharapkan tiada kenaikan tol. Malah kerajaan Barisan Nasional akan mendapat ‘benefit of doubt’ dari perkara ini.

Sekira dilihat lebih dalam lagi kesan kepada pengguna, adalah lebih baik kerajaan menerima bidaan daripada SMASH. Satu blog telah membisik bisikkan bahawa ini satu lagi milik Syed Mokhtar Al Bukhary berdasarkan akronim yang bermaksud Syed Mokhtar Highway. Apa pun, semua itu semua teka teki semata mata sama seperti pembida terbaru.

SMASH menawarkan untuk membeli kesemua saham dengan harga yang lagi tinggi daripada Asas Serba, KWSP dan juga yang terbaru. Pemegang saham PLUS masih belum membuat keputusan ketika warta ini dinaikkan. Pengguna akan mendapat kesan yang lebih besar sekiranya memilih SMASH kerana dalam bidaannya SMASH bukan sahaja tidak akan menaikkan kadar tol malah akan mengurangkan sebanyak 10% daripada kadar ketika ini.

Selamat memilih. Yang penting, pengguna perlu didahulukan. Jangan hanya pemegang saham mendapat keuntungan manakalah pengguna terpaksa bergolok gadai dan sentiasa berdebar kerana terdapat kemungkinan harga tol akan dinaikkan dari semasa ke semasa. Penulis memihak kepada SMASH bukan kerana dikaitkan dengan Orang Melayu terkaya di Malaysia tetapi kerana tawarannya yang akan mengurangkan kadar tol sebanyak 10% dari kadar sekarang dan tidak akan naik sehingga tamat konsesi.

Tidak adakah sesiapa atau mana mana Konsortium yang berminat dengan MTD yang memegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur yang lebih dekat dengan penulis. Sekiranya PLUS boleh kenapa tidak pengendali lebuhraya yang lain. Yang penting, PENGGUNA mendapat faedah yang sama besar dengan bakal pengendali.

Tuesday, December 21, 2010

SYED MOKHTAR BERHAK

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari. Satu nama yang besar pada waktu sekarang lebih lebih lagi banyak projek mega kerajaan dikaitkan dengan beliau. Malah pengumuman projek MRT pun membabitkan syarikat yang anak Kedah ini mempunyai nama sebagai syarikat berkaitan Syed Mokhtar.

Begitulah betapa glamornya Syed Mokhtar. Tuhan sahaja yang tahu betapa jelesnya orang dengan beliau malah satu rencana dalam Utusan Malaysia pernah menyebut satu kumpulan orang Melayu telah membentuk satu konglomerat untuk bersaing dengan anak pondok ini dibidang korporat. Dalam erti kata lain cuba mengacau beliau atau lebih kejam lagi cuba menghapuskan beliau.

Baru baru ini beliau sekali lagi dikaitkan dengan satu siri pemilikan Pos Malaysia Berhad. Satu syarikat penghantaran yang tidak diuruskan dengan baik malah menyatakan syarikat itu terpaksa menaikkan harga setem minima untuk mengelakkan kerugian. Dasyat dasyat.

Satu persoalan ialah, kenapa Syed Mokhtar terlalu dibenci orang Melayu kononnya beliau ingin mengambil semua.? Salahkah beliau mengambil syarikat ini kerana beliau memang mampu. Bukannya mendapatkan belas ehsan Kerajaan seperti kebanyakan orang lain ataupun memakai KABEL seperti sesetengah orang lain? Apa salah tindakan beliau?

Semasa PERNAS terlibat dalam kebankrapan dan hampir lingkup, kenapa tiada satu pun orang Melayu yang sanggup menyelamatkan syarikat Bumiputra Melayu tersebut? Kenapa tidak ada satupun konglomerat ditubuhkan untuk menyelamatkan tempat mencari rezeki Orang Melayu tersebut daripada hancur. Tapi Syed Mokhtar menyelamatkan syarikat tersebut dengan hutang yang terlampau banyak hingga kawan berbangsa Cina beliau menyatakan beliau sebagai seorang yang GILA!

Beliau tidak GILA tapi lebih kepada TANGGUNGJAWAB beliau kepada orang Melayu dan satu organisasi yang membantu beliau berniaga semasa peringkat awal. Kenapa sekarang semasa Syed Mokhtar ingin mengambil Pos Malaysia Berhad ramai orang bising? Sekarang di mana kedudukan PERNAS? Namanya telah hilang tapi dengan menggunakan nama baru iaitu TRADEWINDS, carilah sendiri dalam GOOOOOOGLE.

Syed Mokhtar berhak kerana ini jalan yang beliau pilih, berniaga. Tak semua Melayu yang sanggup berniaga tapi Syed Mokhtar pernah memberi amaran siapa siapa yang menyatakan Orang Melayu tidak boleh berniaga, dia sendiri ingin berperang dengan orang itu. Maksudnya Syed Mokhtar percaya kepada orang Melayu.

Tuesday, November 2, 2010

Timbalan Perdana Menteri kena TIPU!

Media massa baru baru ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri dengan bangganya mengumumkan penembusan jalur lebar seluruh negara telah melebihi 50 peratus iaitu pada tahap 53 peratus. Alangkah bagusnya sekiranya berita ini benar.

Tetapi ternyata ada pihak yang telah menipu Tan Sri Muhyidin Yassin. Siapakah yang berani menipu TPM,orang no 2 dalam kerajaan? Apakah yang telah ditipu daripada TPM?

TPM berkata penembusan jalur lebar melebihi 50 peratus dan memasukkan kredit kepada sumbangan netbook percuma kepada pelajar. Ternyata ia tidak benar sekali. Ini kerana pelajar yang mendapat pakej netbook cuma ditawarkan pakej jalur lebar percuma di pusat komuniti. YA...PUSAT KOMUNITI dan bukannya dirumah masing masing. Sekiranya satu daerah mendapat 1000 komputer percuma. Pusat jalur lebar komuniti paling tinggi pun yang wujud hanya sekitar 5 atau 6 pusat sahaja.

Pelajar ini perlu membawa netbook tersebut ke pusat jalur lebar komuniti dan melayari internet di sana. Entah idea siapa yang terlalu pintar ini. Sekiranya ingin melayari internet,perlu ke pusat komuniti jalur lebar.

Ternyata TPM tertipu dan data penembusan jalur lebar perlu dikira semula. Pengiraan yang memasukkan pemberian netbook percuma tidak benar sama sekali dan tidak kukuh. Mereka tidak mendapat akses jalur lebar. Sekiranya hendak dikira juga, kiralah sekali komputer yang terdapat di pusat komputer seluruh negara kerana asasnya sama sahaja pengiraan pengguna netbook yang perlu ke pusat komuniti jalur lebar.

Penulis tumpang sedih dengan nasib yang menimpa Timbalan Perdana Menteri. Pemberiaan netbook sepatutnya disertakan pakej jalur lebar yang boleh diakses di rumah dan bukannya di satu tempat tertentu. Baik tambah komputer di pusat jalur lebar komuniti. Lagi ramai yang boleh menikmatinya.

Yang pasti. Timbalan Perdana Menteri telah dimalukan dengan angka yang sama sekali tidak benar dan tidak wujud.

Tuesday, August 17, 2010

TENAGA ALTERNATIF VS TENAGA KONVENSIONAL

Dari hari ke hari sentiasa mendengar berita baik. Harap berita baik ini berterusan dari semasa ke semasa. Berita baik yang penulis maksudkan ialah Kerajaan dalam rancangan untuk melulukan akta yang akan membolehkan kenderaan elektrik berada di jalan raya secara sah. Adakah ini bermaksud Prius tidak sah...misteri juga itu...

Paling penting industri pemotoran akan berdepan satu suasana yang lebih baik dari yang ada sekarang. Persoalannya, adakah motor atau skuter yang menggunakan petrol akan terjejas. Mungkin tidak bagi mereka yang gemarkan kuasa yang ada pada motorsikal tapi mereka yang terjejas dengan ekonomi dan terjejas dengan perancangan selamatkan kerajaan, berkemungkinan akan beralih arah kepada skuter atau motorsikal menggunakan solar ataupun elektrik ataupun hybrid.

Yang penting, MODENAS pun dah nak masuk campur juga. Yang penting penulis berharap Solarin Turtle kebanggaan rakyat Terengganu akan menjadi kenyataan berada di jalan rayat negara asalnya satu hari nanti. Shabas kepada semua yang akan menjadikan ini satu kenyataan satu hari nanti. Penulis ucapkan tahniah kepada Datuk Sir Archer Ismail secara peribaadi kerana tidak pernah putus asa. Tahniah Datuk!

Saturday, August 14, 2010

MANUSIA VS KAMBING

Bila balik kampung, macam macam hal yang terjadi. Ada kemalangan berlaku dan paling seronok dapat melihat binatang berkeliaran sesuka hati. Tapi bila kita duduk di taman perumahan, ada juga kadang kadang lembu dan kambing biri biri yang sesat. Permandangan paling biasa di taman perumahan ialah burung dan juga ayam. Dulu ada juga itik. Sekarang meriah sikit dengan tambahan aksesori ayam belanda dan ayam api. Macam macam bunyi ada. Tapi taklah sampai macam ASTRO tu macam macam ada. Sikit sikit adalah.

Semasa tengah asyik berehat, suara kambing mengembek beramai ramai memecah suasana. Kambing ini kalau tidak ada kecemasan, tidak suka sangat mengembek beramai ramai. Manusia sahaja yang tidak ada sebab musabab kadang kadang ada perasaaan hendak marah kepada orang lain. Hairan kan. Mana lagi berotak kambing atau manusia.

Berbalik kepada kambing yang bising, tuan punya kambing kata kambing itu cari anaknya. Bodohnya kambing dia pergi masuk kandang dan akhirnya terlupa dia tinggal anak dia dua ekor di luar kandang. Bengapnya si kambing yang akhirnya menyedari tertinggal anaknya di luar kandang mengembek mencari anaknya yang "hilang" itu. Dan sahutannya di sahut rakan rakan kambing yang lain.

Episod pencarian ibu kambing yang tertinggal anaknya itu telah menyebabkan tuan punya kambing dan juga penulis turut serta dalam pencarian. Kawan ibu kambing telah menjumpai anaknya yang tertinggal itu tidak jauh dari kandang kambing. Bodohnya ibu kambing tertinggal anaknya dah akhirnya menyedari peninggalan tersebut.

Sebodoh kambing tidak punya akal dan fikiran akhirnya susah hati kerana tertinggal anaknya di luar kandang. Bagaimana pula dengan manusia yang lengkap dengan akal fikiran membuang anak merata rata tempat. Malah ada yang sanggup membunuh anak itu dengan membuangnya di saluran air. Apa lagi tujuan kalau tidak membunuhnya sekiranya diletak di kawasan berair. Hinanya manusia tersebut. Kambing pun lagi hebat dari manusia yang ada akal fikiran tapi letaknya entah di mana.

Kambing yang bodoh pun masih sasau mencari anaknya yang tertinggal. Kita pula manusia dengan suka hati letak anak kita anugerah Yang Maha Berkuasa di merata rata tempat. Kasih sayang tidak ada lagi. Manusia manusia yang membuang bayi lagi hina dari kambing. Sebusuk kambing ada juga yang di buat ibadat akikah dah korban. Manusia biadap ini pula...

Thursday, August 12, 2010

PELAJAR BERPOLITIK

Media massa melaporkan kabinet baru baru ini telah membuat keputusan untuk tidak membenarkan pelajar Universiti untuk bergiat dalam politik. Bagi penulis, ada pro dan kontranya untuk membenarkan pelajar bergiat dalam bidang politik secara aktif.

Sedar atau tidak, memang ada pelajar yang bergiat aktif dalam politik. Cuma tinggal persoalan sama ada pihak universiti sedar atau tidak, itu sahaja. Memang ada. Cuma perlu diselak disitu dan di sini. Kerja sedikit untuk mencari kebenaran tidak salahkan.

Penulis ingin mencadangkan agar hanya mereka yang dapat mengekalkan purata nilai gred kumululatif atau singkatannya PNGK setiap semester melebih 3.0 barulah dibenarkan bergiat dalam politik. Ini perlu bagi membolehkan mereka ini bukan sahaja aktif dalam politik tapi dalam masa yang sama tidak meninggalkan pelajaran mereka. Politik boleh membuatkan seseorang itu lalai dengannya.

Sebagai contoh abu mendapat PNGK 3.33 dan kemudiannya menurun kepada PNGK 3.32, beliau seharusnya direhatkan dari kebenaran berpolitik. Walaupun masih mengekalkan pointer dalam purata 3.0 tetapi prestasi pelajaran adalah menuruk walaupun hanyak sekitar 0.01 sahaja.

Cadangan tinggal cadangan. Setiap peraturan manusia ada baik dan buruknya. Bergantung kepada kita untuk merubahnya demi peredaran masa. Ada juga yang tidak perlu berubah lansung. Akal dan fikiran kita jauh lebih baik dari super komputer yang wujud di dunia ini. Bersama sama kita berubah ke arah lebih baik.