Friday, May 22, 2009

PETITION 1 SEKOLAH KEPADA MENTERI PELAJARAN

Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin bin Yassin
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Pelajaran
Kementerian
Pelajaran Malaysia
Blok E8, Kompleks E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan
62604 PUTRAJAYA
Y.A.B. Tan Sri,
Pengkajian Semula Sistem Pembelajaran Malaysia untuk Melahirkan Suatu Bangsa Malaysia Yang Bersatu, Teguh dan Bersepadu

Dengan segala hormatnya kami mengemukakan cadangan yang tersebut di atas demi melahirnya suatu Bangsa Malaysia yang kukuh, bersatu dan bersepadu yang akan menjamin masa depan negara kita. Kami bukanlah suatu kumpulan politik atau berpihak kepada mana-mana unsur politik negara ini. Kami adalah warganegara yang prihatin terhadap pembentukan masyarakat Malaysia yang jitu dan yang benar-benar sehati dan sejiwa yang akan mengemudi negara kita tercinta ke arah kegemilangan.


Gejala-Gejala Polarisasi Kaum di Malaysia


Pengkajian semula sistem pelajaran negara ini haruslah dilakukan memandangkan fenomena perpecahan kaum yang semakin meruncing di masa kini. Gejala ini amatlah jelas sekali di alam siber dimana segelintir masyarakat kini mempamirkan sikap anti-negara yang semakin berleluasa. Jelas sekali, anasir-anasir ini tidak menghormati asas dan prinsip Perlembagaan negara, tiada rasa cinta kepada Tanah Air dan juga menonjolkan penulisan hasutan yang mencetuskan sentimen perkauman yang begitu ketara sekali. Secara lantang anasir subversif ini mempertikaikan segala lambang kedaulatan dan intipati negara kita tercinta. Dari pengamatan kami, puak penderhaka ini antara lain telah menyentuh perkara seperti berikut:-

• Mempertikai kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu yang diperuntukan dalam Perkara 181 Perlembagaan Malaysia .

• Membangkitkan isi-isu sensitif seperti kedudukan istimewa Orang Melayu dan kaum Bumiputra lain yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia .

• Mengabaikan Bahasa Rasmi negara, iaitu Bahasa Malaysia, dan mempromosikan secara meluas bahasa-bahasa asing, termasuk Mandarin dan Tamil, yang bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

• Menidakkan adanya suatu Kontrak Sosial (berkaitan kerakyatan masyarakat Bukan Melayu dan kedudukan istimewa Orang Melayu) yang telah terjalin di antara kaum-kaum di negara ini sejak Merdeka dahulu.

• Mengeji dan mempersenda Dasar Ekonomi Baru yang digubal mengikut Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

• Mempersoal dan menidakkan peranan dan pengorbanan Orang Melayu yang telah bertapak di Bumi Tanah Melayu sejak sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi dalam pembentukan dan pembangunan negara ini.

• Melebihkan peranan puak imigran dalam pembentukan dan pembangunan negara ini ke tahap yang menyimpang jauh dari kenyataan.

• Menjanakan berbagai penipuan sejarah yang akan memudaratkan pemikiran rakyat negara ini, terutama anak-anak di bangku sekolah.

• Mempersenda dan memperlekehkan segala simbol kenegaraan Malaysia yang patut di sanjungi dan dipertahan oleh setiap lapisan masyarakat, termasuklah lagu Negaraku, Keris, Songkok dan, seperti tersebut di atas, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Malaysia dan sejarah negara ini.

• Mempertikai hujah-hujah pemimpin Bukan Melayu terdahulu seperti Presiden MIC, Tun V.T. Sambanthan dan Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin, dimana pemimpin-pemimpin ulung tersebut telah melafazkan rasa kesedaran, keinsafan dan berterimakasih terhadap budi perkerti dan sikap bertolak-ansur Orang Melayu di dalam pemberian kerakyatan Jus Soli kepada kaum pendatang di Tanah Melayu, tidak seperti nasib yang menimpa kaum mereka di negara-negara serantau.


Kewujudan Bangsa Malaysia Yang Berbahasa Malaysia dan yang Berlandaskan Budaya dan Tatatertib Orang Melayu

Setelah hampir 52 tahun merdeka, negara kita kini menghadapi masalah perkauman dan kerapuhan sosial yang amat membimbangkan. Polarisasi kaum telah sampai ke tahap kritikal dan kini mengancam kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara. Justeru, Malaysia sudah tiada pilihan kecuali berikhtiar untuk menzahirkan suatu Bangsa Malaysia yang teguh bersatu, yang berbahasa Kebangsaan sebagai bahasa utama, yang bersepadu dalam pemikiran dan yang mempunyai tahap patriotisme yang tinggi berlandaskan cinta kepada negara dan hormat kepada Perlembagaan.

Berpandukan kepada semangat kenegaraan yang menjadi asas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Persekutuan Malaysia, Bangsa Malaysia ini haruslah secara menyeluruh :-

Fasih bertutur di dalam Bahasa Kebangsaan. Bahkan Bahasa Malaysia menjadi bahasa ibunda seluruh Bangsa Malaysia di suatu hari kelak;
Memahami dan menghormati adat-adat dan tatasusila orang Melayu dan kaum pribumi lain di Malaysia;

Menghormati kedudukan Agama rasmi Malaysia iaitu Agama Islam sambil menikmati kebebasan beragama sesuai dengan peruntukan perlembagaan;

Mempertutur bahasa warisan ibunda lain dan mengamalkan warisan budaya ibunda dengan cara yang sesuai dengan peruntukan Perlembagaan, iaitu di luar konteks urusan rasmi dan di amalkan secara peribadi oleh komuniti tersebut.

Konsep Bangsa Malaysia yang kami amati telah diperbincangkan dengan mendalam di wadah kami. Suatu penjelasan menyeluruh telah di huraikan di blog Demi Negara.

Titik permulaan dalam pembentukan Bangsa Malaysia tersebut terletak pada sistem pembelajaran negara kita.
Sikap terhadap Bangsa Malaysia ini harus di bentuk dari peringkat asas. Justeru, Sistem Pembelajaran Malaysia haruslah di sesuaikan agar menjadi wadah utama dalam penerapan nilai-nilai Bangsa Malaysia tersebut di kalangan anak-anak kita bermula dari usia yang muda.


Dasar Sistem Pembelajaran Malaysia Di Masa Kini


Kami berpendapat, pembinaan suatu Bangsa Malaysia yang teguh bersatu dan jitu bersepadu tidak akan tercapai selagi adanya gejala Sekolah Vernakular (Sekolah Jenis Kebangsaan atau SJK) di Bumi Malaysia. Sekolah Vernakular tidak selaras dengan matlamat melahirkan Bangsa Malaysia berharmoni dan bersepadu yang berteraskan unsur-unsur nasionalisme yang sepatutnya. Malah ia telah menjadi penghalang utama keatas hasrat kerajaan membina masyarakat yang sehaluan bahasa, minda dan kebudayaan asas.

Kewujudan Sekolah Vernakular telah menimbulkan berbagai tanda tanya ke atas peranan dan status nya di masa kini. Ini termasuklah:-

Sekolah Vernakular adalah bertentangan dengan status Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Rasmi negara kita. Malah, Sekolah Vernakular nyata bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan dimana Bahasa Malaysia diwajibkan untuk segala urusan rasmi, dan Sistem Pembelajaran adalah suatu urusan rasmi negara.

• Bahasa penghantar di SJKC ialah Mandarin, Bahasa Kebangsaan sebuah negara asing, iaitu Republik Rakyat China. Malah ia bukan bahasa asli mana-mana suku kaum Cina yang tinggal di negara ini. Bahasa penghantar SJKT pula adalah Tamil, bahasa rasmi negeri Tamil Nadu di India. Ini adalah suatu fenomena sosial yang amat ganjil dan tidak harus di benarkan di negara kita.

• Seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Bahasa Kebangsaan wajib digunakan untuk segala urusan rasmi negara. Sistem Pembelajaran merupakan suatu urusan rasmi negara sepertimana di semua negara di dunia.

Perkara 152(a) Perlembagaan Malaysia menyatakan :-

"No person shall be prohibited or prevented from using (otherwise than for official purposes), or from teaching or learning, any other language."


Fasal tersebut tidak memberi mandat kepada Kerajaan untuk membenarkan, apatah lagi memberi sokongan wang dan sebagainya, kepada mana-mana sekolah yang menggunakan bahasa selain dari Bahasa Kebangsaan kerana sistem pembelajaran adalah suatu urusan rasmi (“offical purpose").

• Dari segi “protection of the legitimate interest of the others” yang termaktub dalam Perlembagaan, "kepentingan sah masyarakat lain" merangkumi urusan peribadi masyarakat tersebut dan tidak termasuk hak untuk menggunakan bahasa penghantar lain bagi urusan pembelajaran di sekolah. Peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia membolehkan pengajaran dan pertuturan bahasa lain secara peribadi di kalangan sesuatu masyarakat, dan bukan hingga ke tahap penggunaan bahasa lain secara berleluasa termasuk sebagai bahasa penghantar utama di sekolah.


Sekolah Vernakular pada amnya mengandungi satu kaum sahaja dalam suasana pembelajaran yang tidak membayangkan arca dan kandungan masyarakat negara ini. Ini tidak sesuai dalam melahirkan suatu Bangsa Malaysia yang bersatu dan bersepadu. Murid Sekolah Vernakular wujud dalam suasana terpencil dari aliran am. Mereka menyerapkan nilai-nilai satu kaum sahaja, tidak bergaul dengan kaum-kaum lain, tidak dapat pengalaman berinteraksi, kurang memahami adat resam kaum lain dan susah menerima hakikat bahawa adat resam dan budaya kaum majoriti di negara ini perlu di fahami dan di hormati. Ini mengakibatkan pemikiran mereka terkongkong dan menjadi janggal dan mereka bermasalah menyesuaikan diri dalam masyarakat majmuk negara ini.

Pengasingan sebahagian warganegara ke alam Sekolah Vernakular sejak umur yang senang di pengaruhi telah menjadi penghalang terbesar kepada kewujudan suatu Bangsa Malaysia yang bersatu di bawah satu bahasa, identiti dan pemikiran.


Tiga Bahasa Penghantar Tidak Sejajar dengan Perlembagaan dan Bertentangan dengan Amanat Rukunegara

Perkara 152 Perlembagaan Malaysia membenarkan pengajaran bahasa-bahasa selain dari Bahasa Kebangsaan untuk lain-lain komuniti di Malaysia. Tetapi kebebasan ini nyata terbatas kepada pembelajaran khusus bahasa tersebut sahaja dan bukan untuk ianya dijadikan bahasa penghantar bagi matapelajaran lain di Sistem Persekolahan negara Malaysia.

Kita tidak harus ada tiga sistem pembelajaran dalam tiga bahasa penghantar. Bangsa Malaysia yang bersatu dan bersepadu tidak mungkin lahir dari suasana sebegini. Keadaan tiga sistem pembelajaran ini tidak sejajar dan jelas bertentangan dengan semangat dan peruntukan perlembagaan, dan juga menyimpang dari matlamat utama Rukunegara, iaitu “mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat nya.”

Keagungan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi negara ini mesti di pertahankan. Perkara yang tidak sejajar, menghalang atau menentang peruntukan bahasa dalam Perlembagaan adalah di sifatkan sebagai bercanggah dengan Perlembagaan atau “unconstitutional.”


Masalah-masalah yang timbul dari kewujudan Sekolah Vernakular banyak di perkatakan bukan sahaja di blog Demi Negara, malah di berbagai blog lain. Contoh hujah-hujah di alam siber yang mempertikai kewujudan Sekolah Vernakular
di huraikan di lampiran bersama surat ini.


Berdasarkan kepada fakta dan pendapat yang terpapar di sini dan segala hujah yang dikemukakan di pautan-pautan berkenaan, kami dengan hormat nya meminta agar gejala Sekolah Vernakular ini di hapuskan secara total.

Kesemua Sekolah Vernakular yang ada sekarang harus diserapkan kedalam Sistem Sekolah Kebangsaan dimana peruntukkan secukupnya dibuat untuk menyediakan pembelajaran bahasa ibunda khusus untuk mana-mana murid yang memerlukannya.



Langkah susulan yang kami syorkan:-


Pengkajian Semula Sistem Pelajaran Negara oleh Kumpulan Bebas


Kami mencadangkan suatu kajian terperinci oleh kumpulan pengkaji bebas di adakan keatas fenomena Sekolah Vernakular ini.
Kumpulan pengkaji bebas ini haruslah terdiri daripada individu-individu yang berkelayakan dan berpengalaman yang setimpal dan berkecuali dari politik (non-partisan) sepenuhnya demi menentukan integriti laporan yang akan dikeluarkan. Tokoh asing yang terkenal dan berpengalaman dalam kajian sebegitu boleh juga dijemput ke kumpulan pengkaji untuk meningkatkan prestasi dan kredibiliti kajian dan laporan tersebut.


Penggubalan semula Akta Pendidikan 1996

Akta Pendidikan 1996 tidak sejajar dengan matlamat pengwujudan Bangsa Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan. Akta tersebut yang membolehkan wujudnya sekolah vernakular haruslah dirombak agar ianya kembali kepada niat asal penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Akta tersebut berbunyi:-

"AND WHEREAS the above policy is to be executed through a national system of education which provides for the national language to be the main medium of instruction, a National Curriculum and common examinations; the education provided being varied and comprehensive in scope and which will satisfy the needs of the nation as well as promote national unity through cultural, social, economic and political development in accordance with the principles of Rukunegara."

Walaubagaimanapun, kewujudan sekolah vernakular mengabaikan objektif yang tertera di atas. Penggubalan semula Akta ini akan membolehkan rakyat Malaysia mengecapi suatu struktur pendidikan yang seragam melalui keperkasaan sistem sekolah kebangsaan.



Mata Pelajaran Sejarah Di Mestikan


Melihat betapa pentingnya generasi pelapis negara kita diserapkan dengan pengetahuan sejarah yang kukuh dan mencukupi, kami juga mencadangkan agar subjek Sejarah diwajibkan di semua sekolah di Malaysia. Anak muda yang Celik Sejarah akan memahami asal usul, arca dan konteks pembentukan negara Malaysia.

Ini termasuklah latarbelakang institusi Raja-Raja Melayu, perjuangan wira tanah air kita di zaman silam, peranan Orang Melayu dalam mencetus tamadun dan pembentukan negeri-negeri di Tanah Melayu sejak abad-abad awal selepas Masihi, kemasukan kaum-kaum lain ke Tanah Melayu, permuafakatan di antara kaum yang membawa kepada pembentukan Kontrak Sosial yang tersirat dalam Perlembagaan dan punca termaktubnya hak-hak dan keistimewaan Orang Melayu dalam Perlembagaan.


Masyarakat yang Celik Sejarah akan mencetuskan suasana yang menyemarakkan pengwujudan Bangsa Malaysia yang kita idamkan selama ini. Selagi tidak timbul Bangsa Malaysia
ini, selagilah kita berterusan sebagai sebuah negara rojak yang dilanda berbagai gejala sosial yang tidak sihat dan berbahaya kepada keselamatan negara.



Penulisan Semula Buku-Buku Teks Sejarah


Kami juga mencadangkan supaya buku-buku teks Sejarah negara di kaji semula secara menyeluruh. Fakta-fakta sejarah yang lebih tepat dan terperinci harus dicatatkan oleh kumpulan cendiakawan yang terbukti kewibawaan dan integriti mereka. Penghuraian sejarah yang betul akan memainkan peranan sebagai pencetus kepada pembentukan suatu Bangsa Malaysia yang sehati dan sejiwa di Tanah Air kita yang bertuah ini.



Rumusan

Kewujudan Sekolah Vernakular adalah satu-satunya punca utama ketidakserasian dan ketegangan kaum di negara kita tercinta.
Fenomena ini hampir tiada tolak bandingnya di dunia ini dan telah menjadi suatu barah yang kian menular dalam kancah kerapuhan masyarakat Malaysia. Jika gejala Sekolah Vernakular ini tidak dibendung, negara kita akan terus bergerak ke ambang kehancuran.

Dalam segi Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Sekolah Vernakular jelas tiada tempatnya, bahkan bercanggah dengan fasal-fasal Perlembagaan dengan begitu ketara sekali. Percanggahan ini harus di bendung dan di perbetulkan secepat mungkin demi kestabilan dan keselamatan negara.


Kami pohon agar Y.A.B. Tan Sri memberi perhatian, pertimbangan dan penekanan yang sewajarnya keatas cadangan-cadangan yang dikemukakan di sini demi masa depan Bangsa dan Negara Malaysia tercinta. Kami berdoa agar tindakan yang sejajar dengan kepentingan perkara ini diambil oleh Y.A.B. Tan Sri dan langkah-langkah susulan dilaksanakan oleh kementerian Y.A.B. Tan Sri.



Sekian, terima kasih.



Yang Benar

KijangMas
Bagi Pihak Komuniti Blog Demi Negara

Saturday, April 11, 2009

PENYOKONG GEDEBE

Selasa yang lepas telah menyaksikan episod malang dalam arena sukan negara khususnya kepada peminat bola sepak. Ramai telah maklum bahawa bagaimana ganasnya peminat pasukan bola sepak di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu Kelantan beraksi pada malam selepas perlawanan yang menyaksikan pasukan tuan rumah tumpas kepada pasukan Kedah.

Sekalut manapun perlawanan atau sepincang mana pun keputusan perlawanan, kalah menang adat bertanding. Apa salah trak polis dan kenderaan orang awam berhampiran stadium di bakar dan dirosakkan. Wah..Hebatnya penyokong fanatik pasukan ini.

Bagi penulis, penyokong di Kelantan perlu diambil tindakan sekeras mungkin kerana gagal mengawal kelakuan masing masing. Hukuman telah dikenakan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA). Penulis tidak faham budaya mana yang diterapkan kepada peminat bola sepak. Tidak ingatkah mereka, yang mereka sedang berada di dalam Kota Bharu, Bandaraya Islam.

Islam melarang umatnya merosakkan harta benda awam yang bermanfaat kepada orang ramai. Islam juga melarang umatnya menimbulkan pergaduhan apa lagi rusuhan yang membawa kepada pembakaran trak polis. Menteri Besar Kelantan yang bertaraf Tok Guru perlu menasihati mereka ini agar menerima keadaan sama ada menang atau kalah. Kerana kebanyakan pelajaran kita datang semasa kita mengharungi kegagalan. Yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua. Tapi peristiwa di Kelantan membawa sedikit perubahan, yang kalah, kalah teruk dan membawa aib kepada pasukan.

PROTON TERDESAK-2

Akhbar The Star hari ini melaporkan bahawa ada kemungkinan berlaku penggabungan antara Proton dan juga Perodua. Selang beberapa hari yang lepas, Pengarah Urusan Proton ada menyebut mengenai berkemungkinan bekerjasama dengan General Motor yang hampir muflis. Hari ini, sekali lagi orang yang hanya tahu tukar lencana sahaja nak bergabung dengan "geng" lama dia di tempat lama beliau.

Adakah ini satu langkah yang ingin populer kerana Proton diketahui umum berada dalam kerugian. Setelah diputar alam oleh orang baru ini mengenai kerugian Proton, masyarakat masih tidak dapat menerima kenyataan MV Agusta dijual pada 1 Euro sahaja. Penulis berharap PAC berjumpa sesuatu dalam pencarian mereka. Dan besar harapan penulis supaya Syed Zainal dibuang kerja kerana telah lama berusaha menghapuskan Proton.

Perodua yang hanya tukar lencana dan bumper ingin digabungkan dengan Proton adalah satu usaha yang membazir. Perodua yang nama sahaja Perusahaan Otomobil Kedua walaupun pada dasarnya milik Daihatsu/Toyota tidak layak menjadi rakan kongsi Proton. Syed Zainal memang perlu meletakkan jawatan kerana mencuba sesuatu yang akan merugikan Proton. Perodua dilihat sebagai saingan Proton dan ini adalah baik untuk industri otomotif itu sendiri baik dari segi vendor dan juga kakitangan syarikat.

Penulis sekali lagi ingin menegaskan-Pengarah Urusan Proton perlu ditukar. Syed Zainal telah mengkhianati semangat kakitangan pekerja Proton dengan mengambil ramai pekerja Perodua dan menyisihkan pengurusan kanan di Proton.

Friday, April 10, 2009

TONG TIDAK ADA, BUANG SAHAJA MERATA RATA

Pekan Kuala Berang yang terletak 40 kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu merupakan sebuah pekan kecil yang jauh dari pembangunan pesat bandar bandar lain di negeri ini. Sebab musabab, hanya orang Kuala Berang sahaja yang mengetahuinnya. Pekan Kuala Berang mengadakan pasar minggu pada hari Rabu dan Sabtu. Itu tidak termasuk dengan pasar malam yang beroperasi pada hari Selasa dan Jumaat. Kalau waktu dahulu, hari Isnin menjadi pilihan untuk di adakan pasar tani, penulis tidak tahu pada hari apakah pasar tani di adakan sekarang.

Sedikit sebanyak, pasar pasar ini sekurangnya dapat menambah pendapatan penduduk disekitar yang menjual bermacam macam barangan. Kebiasaannya barang yang paling populer didapati di sini ialah barang berasaskan makanan. Sama ada mentah mahupun bermasak. Gerai gerai ini akan dibuka dan orang ramai boleh membeli barang keperluan masing masing. Paling ramai rakyat Ulu Terengganu ialah pada hari giliran sama ada hari Rabu atau pada hari Sabtu. Manusia manusia disekitar Hulu Terengganu akan keluar dari segenap kampung demi menjalankan urus niaga.

Setiap kali disebut pasar, penulis sedih kerana penulis terus dapat membayangkan betapa kotornya sampah sampah dan bertimbunnya sampah yang dibuang oleh pengunjung pasar ini. Benar, ada pihak yang akan membersihkan sampah terbabit, tapi masalahnya sikap pengunjung dan juga pihak berkuasa tempatan yang tidak menyediakan bakul sampah di kawasan pasar ini. Penulis tidak menyalahkan pengunjung semata mata. Kerana pengalaman penulis sendiri yang membawa plastik pembungkus makanan dari hujung ke hujung tapi tidak ada tong sampah yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Mungkin mahal tong sampah ini dan pihak majlis tidak mempunyai peruntukan untuk membeli tong sampah untuk diletakkan di pasar pasar ini. Benar pasar ini tidak kekal, namun berat sangatkah tong sampah yang ada dipasaran. Mungkin penulis terlalu bias, tapi penulis pernah pergi ke pasar atau disebut Tamu di negeri bawah bayu. Di sana, di tengah tengah Tamu, akan ada kelihatan tong sampah kecil disediakan pihak berkuasa tempatan. Benar, masih ada yang membuang sampah merata rata, tapi tidak sebanyak di bandar bawah tasik ini.

Kebersihan adalah tanggungjawab kita bersama. Penulis kadang kadang kasihan dengan mereka yang membersihkan sampah sampah ini, tapi apakan daya penulis. Pihak berkuasa tempatan di Kuala Berang tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk menyediakan tong sampah di pasar pasar ini.

TRAGIS BERMATA EMPAT DAN ENAM

Pada bulan Mac baru ini, satu kemalangan telah berlaku di Kuala Terengganu yang menyaksikan kemalangan maut seorang perempuan yang sedang asyik membalas sistem pesanan ringkas sambil membawa motor. Penulis tersentak kerana tragedi ini berlaku setelah beberapa hari penulis menaikkan tajuk mengenai penunggang yang bermata empat dan juga enam di Terengganu.

Adalah satu perkara yang menyedihkan di mana perkara ini menjadi semakin lumrah kepada penduduk Terengganu. Penulis harap perkara ini tidak terjadi lagi pada masa hadapan. Panggilan mahupun pesanan yang dihantar tidaklah seberapa penting nyawa yang melayang.

STATUS MTEN SELEPAS MAJLIS PENASIHAT

Hari ini, genap satu minggu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pemerintahan negara dari yang terdahulu. Selamatkan menjalankan tugas Datuk Seri. Semalam juga diumumkan nama nama Jemaah Menteri yang baru. Ada yang baru dan ada yang lama. Selamat bertugas diucapkan kepada semua. Walaupun ada beberapa orang yang penulis tidak gemari kerana beberapa sebab, namun anak Tun Abdul Razak semestinya mempunyai sebab yang hanya beliau ketahui pro dan kontranya.

Harapan penulis tidak lain tidak bukan, menubuhkan kembali Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) seberapa segera. Namun sekiranya dilihat acara semalam, Perdana Menteri juga ada menerangkan mengenai Majlis Penasihat Ekonomi Negara. Tidak diketahui sejauh mana Majlis ini bertindak dan cara mereka berkerja dan siapa ahlinya. Namun, bagi mereka yang tidak berminat politik, kestabilan ekonomi di mana mereka boleh keluar mencari kerja dan mendapatkan wang untuk menampung ahli keluarga masing, itu lebih penting.

Selamat berkerja kepada semua lapisan masyarakat demi memacu Malaysia maju pada tahun 2020, insyaAllah.

PROTON TERDESAK

Akhbar The Star hari Rabu, 8 April 2009 melaporkan Proton sedang berunding dengan General Motor dan Renault dari Perancis untuk membolehkan mereka mengadakan kerjasama sama ada secara teknikal atau secara jualan ekuiti. Pengarah Urusan Proton, Syed Zainal memberitahu pemberita dalam satu temuramah bersama pemberita baru baru ini.

Sekiranya ada membaca lagi akhbar The Star pada hari yang sama dalam bahagian ekonomi luar negara, anda akan menjumpai berita mengenai GM sedang menghadapi kemungkinan muflis. Pandai betul Syed Zainal mencari rakan kongsi sehinggakan yang dah nak muflis pun tidak menjadi satu masalah kepada Proton. Nampak macama Proton dah terlalu terdesak nak mencari rakan kongsi sehinggakan yang hampir muflis pun masih nak bergabung. Menjual ekuit pun dikira boleh kerana terdesak.

Mungin juga kerana ayat pengarah urusan Proton yang dibanggakan ramai rakyat iaitu " Kerugian adalah satu perkara biasa pada waktu ini". Mungkin juga penulis terlalu bias kepada Tengku Mahaleel jadi penulis tidak dapat memberi penilaian yang sebaik mungkin kepada Syed Zainal. Tapi kerugian perkara biasa adalah satu ayat yang tidak patut diluahkan oleh seorang seperti beliau.

Perdana Menteri pun dah bertukar baru. Antara hajat penulis ialah Syed Zainal ini dibuang dari Proton! Selamatkan Proton dari Syed Zainal yang ingin menghancurkan Proton ke tahap yang terendah dan menjualnya!