Thursday, November 13, 2008

USAHA TANGGA RUMAH...USAHA TANGGA JAYA

Usaha tangga kejayaan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Betul ke semua pepatah melayu itu atau ada udang di sebalik mee bandung...Satu kejayaan yang datang, berasal daripada usaha yang berterusan. Orang kata, jika tercipta sebuah bangunan yang hebat, arkiteknya diajar oleh seorang guru. Bukan dalam hidup arkitek itu hanya diajar oleh seorang insan bergelar guru tetapi asalnya daripada seorang guru yang mengajar tidak mengenal erti penat dan lelah demi kejayaan anak anak bangsa hingga berjaya di peringkat dunia.

Seseorang itu akan terus berusaha dan memperbaiki diri masing masing dari hari ke hari. Orang lama lama kata, orang yang tidak berubah itu-mati. Matinya manusia apabila tidak lagi bergerak dari satu tempat, ke destinasi yang lain. Dari titik A ke titik B sekurang kurangnya. Manusia itu bergerak menggunakan akal dan fikiran. Fikiran akan mencetuskan idea dan seterusnya merancang cita cita.

Cita cita sememangnya besar. Sekali lagi diperlukan sokongan moral dan fizikal. Segenap sudut sokongan diperlukan demi merealisasikan cita cita yang akhirnya menjadi inspirasi kepada setiap manusia yang mahu berfikir. Usaha akan digerakkan oleh tulang empat kerat manusia. Langkah pertama memang sukar tetapi perlu juga di tempuhi untuk membolehkan insan bergerak 1000 langkah ke hadapan. Langkah demi langkah walaupun perlahan perlu dikekalkan momentumnya supaya tidak termati fikiran.

Ayuh, kita bergerak ke hadapan walaupun untuk satu langkah. Menara Berkembar Petronas tidak terdiri dengan sendirinya. Ada idea dan usaha di belakangnyal. Bergerak dan terus bergerak wahai rakan dan taulan...Hari ini telah ku mulakan satu langkah ke hadapan untuk berlari pada keesokan harinya....

Proton vs General Motor

Kemelesetan ekonomi dunia. Itu adalah berita paling hangat sepanjang tahun ni selain daripada berita berita politik dan juga mainan perasaan yang tidak sudah sudah saban tahun. Sekiranya pada tahun sekitar tahun 1997, 1998 kemelesetan ekonomi paling teruk dirasai oleh negara negara di Asia termasuklah Malaysia. Alhamdulillah, semua itu telah kita harungi dengan jayanya dan semua idea penyelamatan ekonomi Malaysia bumi bertuah ini telah digunapakai pakai oleh semua.

Kemelesetan dunia yang semakin dirasai oleh negara ini juga memerlukan perhatian yang lebih khususnya daripada pihak berkuasa yang merangka dasar. InsyaAllah, kita akan mengharungi zaman ini dengan lebih baik lagi dengan gandingan semua pihak. Malaysia merupakan sebuah negara yang penuh dengan inteleknya dan semua dasar yang selama ini sememangnya menekankan kepada pendidikan telah membuahkan hasil di mana sahaja kita akan dapat lihat pelbagai perbincangan secara ilmiah mahupun secara semborono diadakan.

Menyentuh mengenai ekonomi dunia juga telah menyaksikan Amerika Syarikat sebagai sebuah kuasa besar telah mengemukakan pelan menyelamat bernilai USD 700 billion. Adakah ini semua akan berhasil dan memperbaiki kerosakan teruk yang berlaku? Media juga melaporkan bahawa syarikat automotif kuasa besar turut mengalami kerosakan yang amat teruk.

Dilaporkan bahawa perbualan bakal bekas presiden dan juga bakal presiden yang baru negara Uncle Sam tersebut telah berbincang mengenai pelan penyelamatan sektor automotif negara terbabit. General Motor. Bukan nama kecil dalam industri pemotoran, tetapi merupakan gergasi dalam industri berbillion wang ini. General Motor dilaporkan akan mendapat suntikan dana daripada kerajaan yang kononnya membenci amalan subsidi ini atas nama 'pasaran bebas'.

Teringat pula kepada negara tercinta ini juga mempunyai industri pemotoran sendiri. Proton. Bagaimana Proton boleh hidup dengan kaki sendiri tanpa bantuan kerajaan pada masa tersebut?
Kawan penulis kata bukan sahaja tetapi mengeluarkan kereta sendiri dari lakaran iaitu Proton Waja. Proton bukan sahaja kebanggan kita tetapi juga kebanggan dunia sebenarnya sebab operasinya tidak memerlukan suntikan dana daripada kerajaan.

Penulis ingin merakamkan sekalung tahniah kepada bekas CEO Proton yang telah meletakkan Proton ke tahap yang tidak perlu ditolong oleh kerajaan dan tidak kerugian walaupun pada zaman gawat. Bravo Tengku Mahaleel Tengku Ariff...

Friday, November 7, 2008

SOKONGAN MORAL DAN FIZIKAL

Bumi telah menyediakan kepada sang khalifah untuk menentukan nasib yang akan menimpanya. Namun, perlu diingat bahawa setiap yang terjadi, berlaku dengan izinNya. Kita sebagai manusia hanya mampu berserah dan serahkan yang selebihnya kepada Yang Maha Berkuasa atau ramai yang kata ketentuan alam. Berserah sebelum membuat sesuatu seolah olah membunuh diri dengan sepenuh jiwa dan raga.

Masa selalu membataskan manusia untuk membuat sesuatu. Jika manusia tidak bersaing dengan masa, maka 'kayalah' manusia. Paling terikat dengan ajal dan maut. Masa yang singkat juga membataskan manusia sama ada untuk memberikan sama ada sokongan moral atau fizikal.

Ada hidup berkawan, susah senang dihadapi bersama. Ada juga rakan yang hanya muncul apabila kepentingan diri melebihi daripada erti berkawan yang lebih mulia. Rakan ada pelbagai ragam dan rupa. Ada yang hanya menolong pada waktu senang lenang mengulit diri dan ada juga yang menempuh onak duri bersama. "You jump, I jump"....

Biarkan si Luncai terjun dengan labu labunya. Busuknya rakan yang berfikiran sedemikian. Malangnya nasib mereka yang tidak tahu erti persahabatan yang sebenar. Kadang kadang, kita terpaksa dan hanya mampu memberikan sokongan moral semata mata. Kadang kadang juga, kita hanya dapat memberikan sokongan secara fizikal sahaja dan moralnya tidak ada. Ada juga yang ditafsirkan sebagai sokongan membawa rebah. Buatlah apa sahaja-SOKONG!

Sokongan sama ada secara moral mahupun fizikal penting kepada rakan rakan kita yang selalu berusaha untuk membuat yang terbaik. Ku sangka hujan sampai ke petang, rupanya hujan mencurah di tengahhari". Seelok mana pun perancangan yang dilakukan, apabila tiba masa yang ditetapkan, biasa berlaku sesuatu yang memang tidak kita ingini. Sebab itu sokongan moral itu perlu. Mereka yang berusaha akan mencapai tahap kehabisan dan sokongan moral yang akan membantu supaya dapat pulih dengan cepat. "Hendak kecewa tidak apa, tetapi selepas itu kena cepat cepat pulih semangat kembali"-Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari.

KELAM KABUT

Hidup di atas dunia yang penuh pancaroba memerlukan sesorang itu mengatur hidupnya supaya menjadi lebih baik dari hari ke hari. Bumi yang dikatakan kejam ini juga menghamparkan dataran yang amat luas untuk setiap orang mencorakkan apa yang akan berlaku setiap ini di mana sahaja mahluk bernama manusia berada. Sang Pencipta telah memberikan kepada setiap manusia yang indah ini akal dan fikiran dengan harapan mereka akan menjadi lebih baik daripada satu lagi makhluk yang digelar binatang.

Akal yang ada perlulah diisi dengan pelbagai makanan dan minuman yang berzat dan juga asli sumbernya supaya tidak berlaku kecelaruan fikiran pada masa akan datang. Santapan manusia ini boleh terjadi pada bila bila masa sahaja termasuklah pada waktu tidur. Waktu tidur pun manusia belajar ke? Tidak letih ke makhluk bernama manusia ini? Hairan hairan. Sekian waktu manusia juga mencuba dan melatih diri masing masing supaya menjadi lebih hebat antara satu sama lain.

Persaingan merupakan sifat manusia yang akan menjadikan satu satunya makhluk bumi yang dikurniakan akal ini bertukar daripada sebuah kain putih kepada sebuah sutera yang membolehkan si pemakai bergaya dan imejnya tinggi di kalangan yang lain. Manusia bukan sahaja akan bersaing dengan sesama manusia tetapi juga dengan makhluk yang lain termasuklah binatang yang lansung tidak ada akal dan fikiran. Di mana letaknya akal fikiran makhluk terpilih ini?

Seandainya seekor burung helang mendepakan sayapnya untuk membelah angkasaraya, manusia pula memotong awan biru dengan satu lagi ciptaan yang bahasa melayunya kapal terbang. Ada juga helikopter yang lebih kepada merayau-merayau di udara seolah olah seperti lalat yang begitu banyaknya di bumi ini. Manusia memang hebat dan pujian kepada Maha Pencipta untuk makhluk bumi bernama manusia.

Otak pun ada. Bahasa kasarnya yang sering diperkatakan oleh orang tertentu yang biasanya berada di situasi marah-kepada otak pun ada. Adakah manusia berhak ke atas otak yang ada 'special edition' bersama sama dengan akal fikiran ini secara total? Jika seorang manusia yang amat pintar akalnya hidup bersama sama dengan manusia yang kurang sedikit akalnya, salahkah manusia itu menjadi terlalu pintar sedangkan rakannya tidak sedemikian rupa? Jika manusia yang lebih itu tidak menolong rakannya yang lain, adilkah itu kepada manusia yang lain? Orang ramai kata, tepuk dada, tanyalah hati. Tetapi ada juga si polan kata, ikut hati membawa mati...

Tuesday, October 21, 2008

LALUAN MEMOTONG DI TERENGGANU SEBELAH KIRI

Hari raya Aidilfitri telah berlalu. Bermacam perkara berlaku setiap hari. Dengan Ops Sikapnya dan bermacam macam lagi. Terengganu pada tahun ini menyaksikan Penulis mencatat sejarah sebagai perjalanan terpanjang pernah penulis lalui sepanjang hayat lewat 20 an.

Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 15 minit perjalan bertukar menjadi satu jam perjalanan lamanya. Indahnya perjalanan itu dengan pelbagai kerenah ragam manusia. Indah kepada penulis yang hanya menjadi kelendan kepada rakan bloggers menuju satu jemputan ke rumah rakan sepersatuan. Perit dan sesal mendakap hati si pemandu yang terpaksa beratur panjang untuk meredahi sesuatu perjalanan. Berapa lama agaknya masa yang terpaksa diperuntukkan oleh seorang pemandu dari kawasan Pantai Timur untuk memasuki ibu negara?

Semua telah selesai nampaknya untuk Aidilfitri 2008. Namun itu cuma sebabak kerana akan akan ada lagi Aidiladha dan juga Deepavali serta Krismas yang akan kunjung tiba tidak lama lagi. Kalau di negara lain, kita cuma akan dapat meraikan satu hari tertentu sahaja. Namun, di Malaysia, kita dapat meraikan bersama sama keunikan dan keharmonian berbilang bangsa, kaum serta adat resam yang bertapak di bumi bertuah ini.

Pelik tapi benar. Penulis juga mendapati, semasa sambutan Hari Raya Aidilifitri 1428H, telah mengajar penulis untuk memotong barisan sebelah kiri. Bukan bahagian kiri yang menjadi kaki lima seperti iklan sebuah televisyen swasta yang kini rancak disiarkan. Bagi jalan yang memiliki dua lorong pada sesebelah bahagian, secara rasminya seperti yang diajar oleh Sekolah Memandum, lorong memotong adalah sebelah kanan. Manakala sebelah kiri sekiranya kenderaan kita tidak memotong. Bukannya memotong sebelah kiri. Tetapi agaknya bagi segelintir pemandu Terengganu, ajarannya adalah memotong disebelah kiri dan sebelah kanan adalah laluan yang penulis gelarkan sebagai laluan orang yang sedang 'honeymoon'.

Sekiranya sesiapa daripada anda datang ke Terengganu, sila berhati hati dalam pemanduan anda kerana terdapat segelintir pemandu dalam keadaan kerugian. Apabila anda membeli sebuah kereta, secara asasnya lampu signal akan diberikan secara pakej menyeluruh sebuah kereta yang sempurna pembuatannya. Tetapi ada pemandu di Terengganu yang 'kehilangan' signal kereta mereka. Mereka akan membelok dimana sahaja yang mereka ingini dan ingat, jangan dimarahi kerana lampu signal mereka hilang. Mungkin mereka ini patut membuat tawaran semasa membeli kereta tersebut untuk membuang signal yang ada pada kereta kerana ternyata mereka tidak menggunakannya. Dalam iklan sebuah pembuat kereta pun ada menasihatkan supaya membuang perkara yang tidak berguna di dalam kereta kerana itu akan menyumbang kepada penggunaan minyak yang menjimatkan.

sekiranya penulis dibenarkan dan ada kuasa, penulis nak mengistiharkan laluan memotong kenderaan bagi laluan dua lorong pada satu bahagian adalah di sebelah kiri. Diulangi, sebelah KIRI.

Monday, October 13, 2008

KITAR SEMULA

3R. Pernah dengar, pernah terbaca atau pernah terlintas di fikiran kita apakah yang dimaksudkan dengan 3R? Ada yang akan mengaitkan dengat satu rancangan televisyen yang diterbitkan syarikat swasta satu ketika dahulu. Tapi pada ketika dan waktu ini, penulis ingin membawa minda kita kepada satu program yang telah lama dilaksanakan oleh pihak berkuasa tetapi tidak nampak fizikalnya secara keseluruhan.

Reuse, Reduce dan Recycle. Entah mengapa secara kebetulan pada hari ini juga akhbar Utusan Malaysia dalam ruangan Mega telah berbicara mengenai perkara yang sama tetapi lebih mengkhusus kepada kitar semula plastik. Kadang kadang sendiri bingung memikirkan perkara yang telah berlarutan sekian lama sejak berzaman. Seandainya pada satu ketika dahulu, teknologi telah menghadkan untuk kita mengitar semula barang barang yang telah kita pakai. Tetapi hari ini, apakah alasan kita untuk menidakkan semua yang telah sedia ada.

Kitar semula merupakan satu program jangka panjang yang membolehkan barangan yang boleh di gunapakai dikitar semula untuk menghasilkan sesuatu produk. Penulis pernah terbaca mengenai bagaimana sebuah telefon bimbit yang dibuang dalam kuantiti yang banyak boleh menghasilkan jongkong emas. EMAS! Satu komiditi yang amat bernilai dan boleh membawa keuntungan kepada mereka yang terlibat dalam industri terbabit.

Penulis juga terlibat secara lansung dalam industri kitar semula dengan menjadi penjual kepada barangan yang boleh dikitar semula. Penulis telah membuat sedikit duit dengan semua 'sampah' yang telah dijual kepada pembeli yang terdiri daripada wakil wakil kilang kitar semula di dalam negara ini. Kertas dan plastik merupakan dua material utama yang menjadi 'RM' kepada penulis, Orang lain membuang merata rata dan penulis telah mengutipnya di sekitar kawasan kerja dan menjadikan imbuhan kepada penulis.

'Bagai ketam mengajar anaknya berjalan lurus'. Maaf dipinta kerana kerajaan sendiri tidak pernah menolong sesama sendiri dalam menjayakan kempen kitar semula. Kerajaan telah mensabotaj kerajaan. Tidak percaya! TIDAK, TIDAK, TIDAK!!! Tetapi itulah realitinya. Kerajaan menghabiskan wang yang banyak dalam kempen Kitar Semula tetapi tidak ada rancangan komprehensif dalam menjadikan ia sebagai realiti.

Satu soalan yang tidak cerdik-Wujud atau tidak tong sampah kitar semula di pejabat kerajaan ?
Hairan kan...'Melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Wujud atau tidak tong sampah kitar semula di sekolah sekolah dan pejabat sekolah sama ada di sekolah rendah, sekolah menengah, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ? Tidak ada. Mungkin jawapan ini berbeda bagi sesetengah sekolah tetapi pengalaman penulis dengan sekolah, tidak ada lagi tong sampah berwarna di sekitar kawasan sekolah.

Sekolah merupakan satu persekitaran yang tepat dalam mendidik para pelajar yang akan menjadi generasi akan datang dalam kempen kitar semula. Pelajar boleh digalakkan untuk membuang sampah mereka ke dalam tong sampah kitar semula yang disediakan. Bayangkan betapa banyaknya kuantiti kertas yang digunakan di sekolah yang akhirnya akan dibakar setelah jangka waktu. Entah berapa ribu pokok yang dapat diselamatkan kerana sekolah mengitar semua kertas yang tidak berguna. Tidak terkira bilangan sekolah rendah dan menengah dan tidak terkira bilangan ozon yang dapat di selamatkan oleh mereka yang tidak tahu apa apa ini. Mengapa tidak ada tong sampah kitar semula di setiap sekolah.

Di sekolah, bukan sahaja kertas yang terlalu banyak tetapi juga plastik daripada kantin sekolah. Dengan tong sampah kitar semula yang di sediakan, mungkin yang tinggal dalam tong sampah biasa adalah sisa makanan dan paling cepat penuh adalah tong sampah kitar semula. Tidak salah rasanya jika kita mencuba walaupun terlewat. Pepatah Inggeris berkata-Better late than never.

Selain daripada sekolah rendah dan menengah, satu lagi institusi yang banyak menggunakan kertas adalah IPT sama ada IPTS mahupun IPTA. Ada dikalangan institusi ini yang menggunakan teknologi untuk menghantar tugasan namun jangan diambil mudah bilangan kertas yang akan dibuang setiap tahun oleh sesetiap intitusi. di sini, lagi banyak kertas, plastik dan kaca yang boleh di dapati sama ada di kafeteria mahupun di kelas dan di pejabat sama ada pentadbiran mahupun penguatkuasaan. Tidakkah mereka ini yang bertaraf intelek tidak ingin menyumbang kepada persekitaran yang lebih terkawal dan lebih sihat antara satu sama lain. Mungkin ada sesetengah ipt ini yang mempunyai kursus dan seminar mengenai alam sekitar dan sudah tentu perkataan kitar semula akan di keluarkan. Pupus sudah kah intelek yang berani membawa isu tong kitar semula disetiap bangunan, premis, kolej dan juga kafeteria kerana ini akan membantu kepada kesedaran kendiri yang lebih baik dikalangan siswa dan siswazah yang mempunyai inisiatif sendiri kelak.

Pada satu ketika, perkataan putus asa dan hampa pernah wujud di dalam kepala otak penulis kerana setelah mengumpul sekian lama, tidak ada satu pun tong sampah kitar semula yang berhampiran dengan penulis walaupun dalam daerah yang penulis duduki. Daif bukan. Nampak sangat ketaranya bagaimana tidak kesampaian tong kitar semula ke sesuatu tempat. Patut atau tidak cuma 1 sahaja diletakkan tong sampah kitar semula di kawasan perumahan. Isi rumah di Kuala Lumpur boleh mengeluarkan sampah sepenuh KLCC dalam jangka masa 1 minggu sahaja.

Penyampaian dari segi pengambilan sampah kitar semula ini juga perlu diperbetulkan kerana kita tidak lagi boleh bergantung kepada lori sampah yang lama kerana tong sampah kitar semula berasingan sampahnya. Kadang kadang, ada juga yang tidak pandai membaca dengan membuang mengikut suka hati dalam tong sampah kitar semula. Kasihan. Dah dewasa, masih tidak pandai membaca. Mungkin program 3M itu perlu diperbaharui.

Fikir Dulu Sebelum Buang

Wednesday, October 8, 2008

TERLUPA ATAU SENGAJA MELUPAKAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua.
Tak tahulah terlambat ataupun tidak, tapi penulis ingin mengucapkan selamat hari raya aidilfitri maaf zahir dan batin. Manalah tahu sebab setulus mana pun kita berjuang masih ada yang dengki dan tidak berpuas hati dengan kita.

Aidilfitri 2008 telah di sambut dengan penuh kegembiraan dan sedikit kehampaan. Gembira kerana bertemu ramai saudara dan rakan taulan dan kehampaan kerana tidak dapat menjangkau kesemua keluarga dan sahabat handai dalam waktu yang singkat. Ada cahaya di hujung gua. Penulis masih sempat menunaikan hajat yang tertangguh setelah sekian lama untuk melawat kubur datuk berada di Kampung Banggul Mempelam. Penulis pun telah lupa tahun bila yang terakhir penulis berada di hadapan 'rumah terakhir' datuk dan moyang. Yang pasti, yang terakhir semasa bersama dengan saudara mara melawat kubur datuk dan moyang yang berada di kawasan yang sama.

Al-Fatihah dan tafakur 2 minit untuk mereka yang telah pergi dahulu daripada kita kerana ungkapan mereka yang terdahulu 'Tuhan lebih sayangkan mereka'.